KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bilangan penganggur di negara ini dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan pemulihan ekonomi kembali kukuh apabila negara beralih kepada fasa endemik.
Menurut Kenanga Research, jangkaan itu juga berdasarkan kepada sokongan dasar-dasar kerajaan secara berterusan seperti program subsidi upah dan peningkatan dalam sektor perkhidmatan terutama yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan.
"Memandangkan pemulihan kukuh dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran pada suku kedua sebanyak 3.9% berbanding 4.1% pada suku sebelumnya, kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan diumumkan Jumaat ini, berkembang pada 7.7% di tengah-tengah penggunaan swasta dan pengembangan dalam sektor perkhidmatan.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5 hingga 5.5% berbanding 3.1% pada 2021," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kadar pengangguran pada Jun berkurangan kepada 3.8%, terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang berbanding 3.9% (637,700 orang) pada Mei 2022.
Baca : Malaysia catat kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata negara telah mencapai guna tenaga penuh sejak April 2022, kadar pengangguran di bawah 4% berdasarkan definisi yang ditetapkan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Pada Jun 2022, kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh, dengan pertambahan sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 16.57 juta orang (Mei 2022: 16.54 juta orang), sementara kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan itu kekal pada 69.5%.
Sementara itu, MIDF Research berkata, pemulihan pasaran buruh Malaysia berterusan apabila kadar pengangguran menurun pada Jun 2022 disokong permintaan domestik dan perdagangan luar yang kukuh.
Ini menyaksikan tenaga buruh dan pertumbuhan guna tenaga masing-masing mencecah rekod tertinggi baharu pada 3.1% dan 4.2% tahun ke tahun dengan pengangguran menurun lagi sebanyak -18% tahun ke tahun, kadar penguncupan terbesar pernah direkodkan.
"Kami berpendapat pasaran buruh Malaysia akan kekal dalam trend pemulihan seperti yang ditunjukkan oleh kadar kekosongan jawatan yang dicatatkan pada 72.8% pada Mei 2022, rendah sedikit daripada rekod tertinggi 74.9% pada Feb 2022," katanya.
Sehubungan itu, ia mengunjurkan kadar pengangguran tahun ini pada 3.8% berbanding 4.6% pada 2021 disokong pembukaan semula ekonomi dan asas ekonomi yang kukuh.
"Bagaimanapun, unjuran ini masih lagi kekal tinggi berbanding tahap sebelum pandemik pada 3.4%," jelasnya. - DagangNews.com