BIMB berdaya mapan, mampu serap kejutan - Firma | DagangNews Skip to main content

BIMB berdaya mapan, mampu serap kejutan - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - BIMB Holdings Bhd. dilihat mampu menyerap sebarang ketidaktentuan dalam tempoh terdekat berdasarkan kepada kedudukannya yang berdaya tahan. 

 

Penganalisis MIDF Research, Imran Yassin Yusof berkata, prestasi suku pertama BIMB masih memenuhi jangkaan mereka meskipun pendapatan menurun pada tempoh berkenaan. 

 

"Malah, kumpulan terus berdaya tahan di sebalik persekitaran operasi yang mencabar. 

 

"Ini berdasarkan kepada pertumbuhan akaun semasa dan simpanan (CASA) juga kekal utuh yang akan mengurangkan tekanan ke atas margin faedah bersih (NIM) manakala pertumbuhan pembiayaan kasar bergerak seiring," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jelas beliau, bagi tahun kewangan 2021, ia menjangkakan beberapa normalisasi dari segi pertumbuhan CASA, tetapi pertumbuhan pembiayaan kasar kemungkinan akan terus kukuh.

 

Malah, unjuran ini juga sejajar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kembali pulih berikutan pelancaran vaksin COVID-19. 

 

"Bagaimanapun, kami tetap mengambil kira kenaikan ketara jangkitan COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, katanya, kualiti aset akan terus kukuh dan mampu dikekalkan pada tahap semasa termasuk bagi tahun kewangan 2021.

 

"Ini bermakna, kumpulan mampu berdepan dengan apa juga keadaan yang tidak menentu dalam tempoh terdekat,"  jelas beliau.

 

MIDF mengekalkan saranan beli ke atas BIMB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM4.35 sesaham.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, BIMB mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 sebanyak RM313.4 juta. 

 

Keuntungan bersih menurun sebanyak 2.6% atau RM6.4 juta kepada RM243.8 juta.

 

Kumpulan Bank Islam pula mencatatkan PBZT sebanyak RM214.5 juta pada suku berkenaan, susut 3.2% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Bagi Takaful Malaysia pula, ia mencatat PBZT sebanyak RM114.4, setara dengan RM114.2 juta yang dicapai pada suku pertama 2020.

 

Penyusunan semula itu membolehkan BIMB dan anak-anak syarikatnya memanfaatkan kekuatan sebagai sebuah
kumpulan dan memberikan penyelesaian kewangan Islam yang lengkap kepada pelanggan sambil terus menarik perhatian dalam aspek perniagaan dan saluran.

 

Takaful Malaysia telah mengambil langkah penting dan bijak untuk mengukuhkan daya tahan perniagaannya dan menyesuaikan model operasinya dalam menguruskan perniagaan di pasaran yang amat berbeza serta landskap pengoperasian yang dinamik.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, pelan penstrukturan BIMB yang kini sedang berjalan dijangka terus menjadi tumpuan pelabur. 

 

Ini kerana menurut penganalisisnya, Clement Chua, mereka ternantikan langkah kumpulan terhadap operasi Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang mana pihak pengurusan mahu memperkukuhkan pendigitalan dan pembiayaan sosial sebagai antara pemangkin utama pada masa depan. 

 

"Kami memberi tumpuan kepada pelan penstrukturan ini dan perkembangan terkini berhubung langkah tersebut yang mana ia dijangka lengkap menjelang Ogos ini," katanya. - DagangNews.com