BIMB untung bersih RM243.8 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

BIMB untung bersih RM243.8 juta pada suku pertama

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - BIMB Holdings Berhad (BHB) mencatatkan keuntungan bersih yang menyusut sebanyak 2.6% atau RM6.4 juta kepada RM243.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) berakhir 31 Mac lalu. 

 

Namun, kumpulan itu berjaya mencatatkan pulangan ekuiti (ROE) tahunan yang sihat sebanyak 13.0% manakala aset bersih sesaham berada pada kadar RM3.59 setakat tempoh sama, menurut BHB dalam satu kenyataan hari ini. 

 

“Kumpulan Bank Islam mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) RM214.5 juta pada 1Q21, susut 3.2% berbanding tempoh sama pada tahun 2020. Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh pendapatan bersih lebih rendah yang diimbangi peruntukan bersih pembiayaan terjejas. 

 

“Pendapatan berasaskan dana kasar menurun sebanyak RM87.3 juta atau 11.1% berikutan kesan negatif Kadar Dasar Semalaman (OPR), walaupun mencapai pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak 9.4% sehingga mencecah RM55.1 bilion. 

 

“Pendapatan bukan berasaskan dana juga menurun sebanyak RM65.4 juta pada 1Q21 berbanding tempoh sama tahun lalu, disebabkan terutamanya oleh pendapatan pelaburan lebih rendah. Bank mencatatkan peruntukan bersih yang dikenakan atas pembiayaan dan pendahuluan terjejas sebanyak RM11.8 juta, berbanding RM30.7 juta pada tempoh sama tahun lalu,” jelas BHB.

 

Bagi anak syarikat kedua BHB, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) mencatatkan PBZT sebanyak RM114.4 juta bagi 1Q21, setara dengan RM114.2 juta yang dicapai pada 1Q20, terutamanya disebabkan oleh penurunan kerugian nilai saksama dari pelaburan dan diimbangi oleh pendapatan bersih yuran wakalah yang lebih rendah. 

 

Pendapatan operasi sebanyak RM915.5 juta bagi 1Q21 pula lebih tinggi berbanding dengan RM913.0 juta yang dicatatkan pada 1Q20, tambah BHB.

 

Melangkah ke hadapan, BHB berkata, pelanggan tetap menjadi keutamaan Bank Islam ketika bank itu menyediakan penyelesaian kepada penerima manfaat dan perniagaan walaupun berhadapan dengan cabaran.

 

“Bank Islam berhasrat untuk menerajui penawaran penyelesaian kewangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus Syariah (Shariah-ESG) yang lengkap melalui peranannya sebagai Pengantara Berasaskan Nilai (VBI) berlandaskan enam objektif strategik - Kesejahteraan Mampan, Budaya Berasaskan Nilai, Pemerkasaan Komuniti, Tumpuan Pelanggan, Ekonomi Sebenar dan Pendigitalan. 

 

“Dengan bank tidak lama lagi mengambil alih status penyenaraian BHB, Bank Islam akan muncul sebagai institusi kewangan Islam tunggal tulen yang tersenarai di Malaysia. Usaha ini akan meningkatkan ketelusan Bank secara keseluruhan di samping membuka nilai terpendam baharu bagi para pemegang saham,” tambah BHB. 

 

Sementara itu, Takaful Malaysia kekal berwaspada dan berhati-hati dalam menguruskan kos operasi, pertumbuhan perniagaan, dan risiko portfolionya, ujar kumpulan berkenaan lanjut.

 

Sebagai perintis dan pelaksana awal pengedaran dalam talian dan teknologi digital baharu yang menyokong saluran-saluran pengagihan, BHB melihat pihaknya mampu mengurangkan beberapa cabaran jualan dan operasi yang dihadapi semasa pandemik COVID-19. - DagangNews.com