Bimbang berlakunya banjir, harga minyak sawit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 7 minggu | DagangNews Skip to main content

Bimbang berlakunya banjir, harga minyak sawit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 7 minggu

Taufan Nesat boleh membawa hujan berterusan ke Sabah dan Sarawak. - Gambar : Nazarizal Mohammad/Unsplash

KUALA LUMPUR 19 Okt - Minyak sawit meningkat ke paras harian tertinggi dalam tempoh tujuh minggu berikutan kebimbangan ribut dan banjir di negara pengeluar utama komoditi itu, demikian menurut laporan Bloomberg.

 

Gangguan cuaca itu dilihat boleh menjejaskan bekalan, manakala pelabur juga mengambil langkah berjaga-jaga ekoran kenaikan cukai import di India. 

 

Indonesia telah mengeluarkan amaran banjir untuk wilayah di Kalimantan dan Sumatera, manakala hujan sederhana hingga lebat mungkin berterusan hingga Isnin di kebanyakan negara.

 

"Agensi berita tempatan, Kompas melaporkan hujan di Kalimantan tengah telah menyebabkan banjir secara meluas, memotong beberapa jalan masuk utama," jelas laporan itu.

 

Di Malaysia pula, menurut jabatan kaji cuaca, taufan Nesat boleh membawa hujan berterusan ke atas bahagian negeri yang berkembang pesat, Sabah dan Sarawak.

 

Hujan lebat dan banjir yang berpanjangan boleh menjejaskan penuaian dan pengangkutan buah sawit, serta mengurangkan kualiti minyak sawit.

 

Menurut Bloomberg, peniaga bimbang dengan kesan cuaca dan ribut tropika terhadap pengeluaran minyak sawit di Malaysia Timur, serta banjir di Kalimantan Tengah. 

 

Pengarah Apricus 8 Pte Ltd., Marcello Cultera berkata, spekulasi bahawa India sedang meneliti cadangan untuk menaikkan cukai import minyak sawit juga membimbangkan pasaran.

 

"Pengguna mungkin melihat untuk menampung keperluan sawit mereka menjelang cukai import yang lebih tinggi dan gangguan logistik berkaitan cuaca," katanya.

 

Niaga hadapan untuk Januari meningkat sebanyak 3.8% kepada RM4,165 satu tan metrik, kenaikan hari keempat dan paras harian tertinggi sejak 1 September 2022.

 

Minyak kacang soya pula, menokok untuk hari ketiga di Chicago, menuju penutupan paling kukuh sejak Jun. - DagangNews.com