Bimbang COVID-19, pasaran susut 18 mata pada Mei | DagangNews Skip to main content

Bimbang COVID-19, pasaran susut 18 mata pada Mei

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pasaran saham tempatan susut 1.1% atau 18 mata sepanjang Mei dengan mencecah paras serendah 1,562 mata ekoran kebimbangan terhadap peningkatan ketara jangkitan COVID-19. 

 

Pada bulan tersebut juga, kerajaan menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri mulai 12 Mei hingga 7 Jun sebelum total lockdown dilaksanakan di seluruh negeri mulai 1 hingga 14 Jun.

 

Berdasarkan analisis CGS-CIMB dalam laporan bulanannya, sentimen pasaran pada Mei banyak dipengaruhi oleh tindakan kerajaan mengetatkan sekatan pergerakan bagi mengekang wabak ini.

 

Katanya, para pelabur membuat pengambilan untung untuk semua sektor kecuali kewangan, yang merekodkan kerugian bulan ke bulan. 

 

"Sektor yang menunjukkan prestasi pada Mei ialah kewangan, perladangan dan telekomunikasi manakala prestasi kurang memuaskan ialah tenaga, pembinaan dan teknologi," katanya hari ini.

 

KLCI juga muncul pasaran ekuiti paling lemah dalam kalangan MIST pada 21 Mei selepas Singapura dan terus merekodkan pulangan nagatif bagi tempoh 5 bulan tahun ini.

 

Malah, jumlah purata dagangan harian juga susut kepada 6.6 bilion berbanding 7.2 bilion pada April 2021 manakala nilai purata dagangan harian susut kepada RM4 bilion berbanding RM4.2 bilion bulan sebelumnya.

 

"Pelabur runcit tempatan kekal pembeli bersih paling banyak iaitu RM485 juta ekuiti pada Mei manakala pelabur institusi tempatan pula penjual bersih paling banyak iaitu RM232 juta ekuiti tempatan," katanya.

 

Bagaimanapun, terdapat perubahan positif bagi pelabur asing yang mana jualan bersih susut kepada RM161 juta pada Mei berbanding RM1.13 bilion ekuiti pada April. Pegangan asing pula meningkat kepada 20.4% setakat akhir Mei.

 

CGS-CIMB berkata, sekiranya program vaksinasi menunjukkan perkembangan yang baik dengan 70% penduduk divaksinkan menjelang akhir tahun ini, ia mungkin memberi penilaian semula kepada pasaran.

 

Firma itu sebelum ini menyemak naik unjuran KLCI akhir tahun kepada 1,709 mata berbanding 1,699 mata, yang turut mencerminkan potensi risiko pendapatan pada separuh kedua 2021 berikutan ketidaktentuan situasi politik. - DagangNews.com