Bin Zayed & Widad meterai perjanjian bangunkan Widad@Langkasuka RM40 bilion | DagangNews Skip to main content

Bin Zayed & Widad meterai perjanjian bangunkan Widad@Langkasuka RM40 bilion

 

KUALA LUMPUR 30 Mac – Widad Business Group Sdn Bhd, konglomerat pembinaan, hartanah dan pengurusan fasiliti bersepadu, telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan Bin Zayed International LLC (BZI) bagi membangun secara bersama projek pembangunan bercampur bernilai RM40 bilion yang dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

 

Majlis menandatangani kerjasama tersebut telah berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Eksekutif serta Pengasas Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal.

 

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Widad Business Group Dato’ Dr Rizal dan Pengarah Urusan Kumpulan Bin Zayed International Group, Sheikh Midhat Kidwai, yang menyaksikan kedua-dua pihak secara bersama membina dan membangunkan  Widad@Langkasuka.

 

Kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi menyelaras dengan kerajaan negeri, perunding serta kontraktor berkaitan pembangunan infrastruktur, pembinaan dan kerja-kerja lain berkaitan projek tersebut.

 

BZI adalah sebahagian daripada Bin Zayed Group of Companies, yang berpengkalan di Abu Dhabi, merupakan konglomerat khusus terbabit di dalam pembinaan dan tenaga, perniagaan dan industri, hartanah, teknologi dan perkhidmatan kewangan.

 

widad
(Dari kiri) Pengarah Pemasaran Bin Zayed, Cik Omerhozic Belmina, Tan Sri Muhammad Ikmal, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Muhammad Sanusi Md Noor serta Sheikh Midhat Kidwai dan Dr Rizal.

 

Ditubuhkan pada 1988 oleh Sheikh Khaled Bin Zayed Al Nahyan, yang merupakan ahli keluarga tertua dari keluarga Diraja Abu Dhabi, juga turut dikenali sebagai ahli perniagaan terkemuka dan dermawan terkenal di negara Teluk.

 

Sheikh Khaled memegang jawatan penting di dalam beberapa pertubuhan awam dan swasta. Ketika ini beliau merupakan Pengerusi Injaz, pertubuhan pusat belia bukan berasaskan keuntungan, juga merupakan Presiden Persekutuan Mendayung dan Pelayaran UAE.

 

Sebelum ini beliua berkhidmat sebagai Pengerusi Tamweel, sebuah perbadanan kewangan dan gadai janji hartanah patuh Shariah serta Naib Pengerusi Bank Islam Dubai.

 

WBG merupakan syarikat milik penuh Bumiputera yang dimiliki oleh anak kelahiran Kedah Tan Sri Muhammad Ikmal Opat bin Abdullah, yang merupakan pemegang saham majoriti Widad Group Berhad dan Dataprep Holdings Berhad.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal berkata: “Pembangunan Widad@Langkasuka akan mengubah lanskap Langkawi dan juga Negeri Kedah amnya. Untuk projek yang mempunyai ukuran dan kepentingan sedemikian, adalah penting untuk kami bekerjasama dengan rakan kongsi yang memiliki kepakaran teknikal yang diperlukan dan berkongsi matlamat yang sama.

 

Bagaimanapun, WBG amat berbangga bekerjasama dengan Bin Zayed Group dan Sheikh Khaled, kami berharap dapat bergabung kekuatan bagi memastikan projek ini berjaya disiapkan.”

 

“Perkongsian strategik WBG-BZI menunjukkan tahap keyakinan tinggi di dalam projek berimpak tinggi ini yang mana akan meletakkan Langkawi di dalam peta dunia selain menjadikan pusat tarikan serantau dan tarikan dunia,” tambahnya.

 

Imbas kembali, pengumuman permulaan projek telah dibuat oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada 20 Januari lalu. Ia dijangka siap dalam tempoh 20 tahun akan datang.

 

Dengan nilai kasar pembangunan (GDV) RM40 bilion, Widad@Langkasuka merupakan sebuah projek pembangunan moden dengan diterapkan konsep Islamik dan vernacular tropikal yang dijangka mengubah lanskap Pulau Langkawai dan menjadi satu tarikan utama di pulau legenda itu.  

 

Ketika ini, hampir 90% daripada 1,979 ekar merupakan kawasan laut, bagaimanapun WBG berhasrat untuk membangunkan sebuah pulau buatan manusia yang akhirnya akan menjangkau kira-kira 1,000 ekar atau 50 peratus dari keseluruhan kawasan tersebut.

 

Setelah siap, Widad@Langkasuka akan mengandungi komponen-komponen pelancongan seperti hotel dan resort-resort bertaraf lima dan enam bintang, padang golf antarabangsa bersebelahan Marina Yacht Club’, kompleks pejabat dan perniagaan antarabangsa, pusat membeli belah, institusi-institusi pengajian tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan, dan kediaman-kediaman mewah.

 

WBG juga merancang untuk menganjurkan acara tahunan seperti “Redbull Air Race”, “Power Boat Race”, “Jet Ski Race”, festival bunga api antarabangsa dan beberapa acara kebudayaan dan kesenian bagi mempromosikan pelancongan di Langkawi. - DagangNews.com