Bintai Kinden, IJN bekerjasama bangunkan vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden, IJN bekerjasama bangunkan vaksin COVID-19

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai (kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada Pengarah Penyelidikan Klinikal IJN, Datuk Dr. Suhaini Kadiman, hari ini.

KUALA LUMPUR 18 Mac – Bintai Kinden Corp. Bhd. bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi 
membangunkan vaksin COVID-19 di Malaysia. 

 

Ia adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang dimeterai pada September 2020.

 

Kerjasama itu diwujudkan berdasarkan perkongsian sedia ada antara anak-anak syarikat iaitu Bintai Healthcare Sdn. Bhd. (BHSB), Generex Biotechnology Corp. dan NuGenerex Immuno-Oncology Inc bagi memajukan pengkomersialan vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 coronavirus (Covid-19) di Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, perkongsian dengan IJN akan membawa syarikat melangkah ke hadapan untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 baharu di negara ini.

 

“Selepas Generex menerima kelulusan penuh Pertadbiran Makanan dan Dadah (FDA) untuk vaksin tersebut dan menyediakan dokumentasi sepenuhnya kepada BHSB, maka BHSB akan memulakan proses pendaftaran dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Malaysia bagi vaksin ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bintai Kinden turut menyerahkan replika cek RM100,000 sebagai geran awal kepada IJN menerusi penubuhan Geran Penyelidikan COVID-19 Bintai Healthcare-IJN bagi membiayai program-program penyelidikan.

 

Di bawah perjanjian kerjasama itu, Bintai Kinden akan bertanggungjawab memperkenalkan vaksin COVID-19 di Malaysia manakala IJN pula akan menerajui dan melakukan ujian klinikal vaksin seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

 

IJN akan menjadi Organisasi Penyelidikan Klinikal dan satu daripada tapak kajian bagi Bintai Kinden di bawah rancangan pembangunan komersial vaksin COVID-19 di Malaysia. - DagangNews.com