Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Syarikat kejuruteraan elektrik dan mekanikal, Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) dan Institut Jantung Negara (IJN) meterai perjanjian persefahaman (MoU) dalam meneroka usaha komersial vaksin COVID-19 di Malaysia.
Kerjasama itu menyaksikan Bintai Kinden bertanggungjawab untuk memperkenalkan vaksin COVID-19 ke Malaysia menerusi tiga tahap yang ditetapkan serta ujian klinikal yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan perlu dilaksanakan dan diketuai oleh IJN.
Selain itu, IJN juga akan menjadi Organisasi Penyelidikan Klinikal (CRO) dan salah satu kawasan kajian oleh Bintai Kinden serta bidang kepentingan bersama lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari masa ke masa.
“MoU ini akan berlangsung selama tiga tahun bermula tarikh tandatangan dan akan dilanjutkan sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“MoU ini tidak akan menjejaskan modal saham terbitan dan berbayar oleh Bintai Kinden tetapi nilai pembangunan kasar yang dianggarkan dijangka menyumbang secara positif terhadap perolehan kumpulan syarikat,” kata Bintai Kinden menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia.
Bintai Kinden sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan Generex Biotechnology Corporation dari Amerika Syarikat (AS) untuk memajukan komersial vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 Coronavirus di Malaysia.
“Kedua-dua pihak harus pada setiap masa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada yang lain secara teratur untuk memastikan kejayaan dalam mencapai objektif MoU.
“Tiada mana-mana pengarah atau pihak berkepentingan utama Bintai Kinden atau individu berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan MoU ini,” tambah Bintai Kinden.
Setakat 3.40 petang, saham Bintai Kinden turun 0.01 mata kepada RM 0.695. - DagangNews.com