Bintai Kinden menerusi Bintai Trading teroka aset digital sebagai usaha kembangkan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden menerusi Bintai Trading teroka aset digital sebagai usaha kembangkan perniagaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Bintai Kinden Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Bintai Trading Sdn. Bhd. menerokai aset digital bagi memenuhi keperluan jangka panjang dalam pengembangan perniagaan.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Bintai Trading mempunyai akaun dengan bursa mata wang digital yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, sekarang merupakan masa terbaik bagi menceburi aset digital kerana nilai-nilai secara menyeluruh telah jatuh, terutamanya di kalangan yang utama seperti Bitcoin dan Ethereum. 

 

"Kami akan menumpukan sebahagian daripada aliran tunai kami untuk aset digital dan akan mengambil pendekatan purata kos dolar apabila membelinya.

 

"Ini juga sebahagian daripada pengurusan perbendaharaan kami kerana kami perlu memastikan aliran tunai untuk menguruskan operasi harian kami sambil mengambil kira keperluan dan strategi jangka panjang kami yang melibatkan perniagaan mekanikal dan elektrik (M&E).

 

"Kami akan terus mencari peluang di Malaysia dan negara-negara jiran untuk berkembang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurut laporan Prospek Pasaran Kripto Coinbase Global Inc. (Coinbase) 2023 yang diterbitkan pada Disember 2022 menyatakan bahawa dalam menyediakan kualiti kepada pelabur institusi, kemusahan kreatif akan mendorong kepada peluang baharu pada kitaran seterusnya.

 

Laporan itu juga menyebut bahawa hubungan positif antara Bitcoin dan Ethereum berbanding saham Amerika Syarikat (AS) menunjukkan trend yang lebih rendah sejak Mei 2022 dan menjangkakan pelabur memilih mata wang kripto berkualiti tinggi berdasarkan faktor seperti tokenomik mampan, kematangan ekosistem dan kecairan pasaran relatif.  - DagangNews.com