KUALA LUMPUR 7 April - Bintai Kinden Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. menerima surat lantikan (LOA) daripada KLCC Urusharta Sdn. Bhd. (KLCCH) untuk kerja-kerja penggantian transformer bernilai RM2.62 juta di Menara 2, Menara Berkembar Petronas.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja bagi projek itu termasuk menyediakan dan menggantikan transformer 33kV/11kV dengan yang baharu.
Kontrak itu juga merangkumi kerja-kerja pengubahsuaian awam sedia ada selain kerja-kerja mekanikal dan elektrik di sepanjang laluan pemasangan transformer baharu.
Kerja-kerja itu dijangka siap sepenuhnya pada 15 April 2023.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya mendapatkan kontrak secara berterusan sejak awal Mac 2022.
"Kontrak daripada KLCCH secara dasarnya meningkatkan reputasi Bintai Kinden dan menguatkan lagi rekod cemerlang kami dalam sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrik," katanya.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapat kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2023 dan pendapatan masa hadapan serta aset bersih sesasaham kumpulan sepanjang kontrak itu berlangsung.
Sehingga kini, tempahan kerja bagi Bintai Kinden termasuk kontrak kejuruteraan mekanikal dan elektrik adalah sebanyak RM173.5 juta. - DagangNews.com