Biz-Meet, Business Boot-Camp inisiatif MASMED lahirkan siswa UiTM berciri keusahawanan | DagangNews Skip to main content

Biz-Meet, Business Boot-Camp inisiatif MASMED lahirkan siswa UiTM berciri keusahawanan

Oleh Siti Hafsah Zulkarnain

 

USAHAWAN adalah satu gelaran yang tidak mudah dicapai hanya dengan berbekalkan impian dan angan-angan semata-mata. Hasrat ini perlu diselarikan dengan tindakan dan langkah pertama bersama tekad dan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa kenal erti putus asa.

 

Cara pemikiran dan penilaian dalam melihat dan mencipta peluang yang wujud dalam bidang perniagaan perlu ditanamkan dalam diri sebelum meneruskan niat untuk memulakan perniagaan. Tidak dinafikan juga ramai yang membuat andaian dengan menjadi  usahawan seseorang itu akan memiliki wang dan harta kekayaan yang melimpah-limpah serta hidup dalam kemewahan. Namun tidak kurang juga berita melaporkan  perniagaan yang terpaksa gulung tikar akibat masalah pengurusan, persaingan dan keadaan ekonomi yang serba mencabar.

 

Impian hanya akan tinggal impian tanpa usaha yang berterusan untuk mencapai sasaran yang diinginkan. Oleh yang demikian, selaras dengan hasrat UiTM untuk melahirkan mahasiswa yang bercirikan keusahawanan, maka inisiatif melalui Program Biz-Meet akan diperkenalkan sebagai inisiatif Jabatan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan, MASMED bagi membantu mahasiswa merealisasikan impian mereka dalam memulakan langkah pertama dalam perniagaan.

 

Program bersifat mentoring ini akan melibatkan tindakan mentor dikalangan usahawan yang berjaya bersama mahasiswa yang berpotensi dan berbakat menjadi usahawan. Bidang keusahawanan yang cuba diterokai antara mentor dan mahasiswa ini melibatkan sepuluh (10) kluster yang terdiri dari bidang teknologi, sosial, kecantikan, pertanian, digital, tekstil, pendidikan, kulinari, perkhidmatan dan seni kreatif.

 

Dengan adanya program sebegini dianggap sebagai peluang keemasan yang ditawarkan kepada mahasiswa untuk bersama-sama berkongsi idea dan pandangan mereka dengan mentor yang pernah berada dititik permulaan seperti mahasiswa tersebut apabila mula berkecimpung dan membuat keputusan untuk menjalankan perniagaan.

 

Menceburi bidang yang baru dan dianggap asing ini agak sukar pada peringkat permulaan dengan penglibatan mahasiswa pada usia muda. Namun menjadi lumrah manusia, alah bisa tegal biasa dan secara tidak langsung perjalanan untuk menjadi usahawan akan menjadi asam garam dalam kehidupan mereka.

 

Cabaran yang datang bersilih ganti akan mematangkan seseorang dan mempersiapkan mahasiswa agar dapat berdepan dengan risiko dan rintangan supaya terus kekal berdaya saing di pasaran.

 

Justeru itu, bagi memantapkan lagi keupayaan dan pengetahuan asas mahasiswa, Program Business Boot-Camp merupakan inisiatif Jabatan Inkubator Perniagaan, MASMED  akan memberikan pengisian latihan, kemahiran dan pengetahuan asas yang terkini dalam bidang perniagaan. Pemilihan modul dan penceramah yang berpengalaman bersesuaian dengan strategi dan hala tuju MASMED meliputi lima (5) modul asas iaitu Model Perniagaan, Inovasi dan Pembangunan Perniagaan, Pemasaran Digital, Pengurusan Kewangan dan Pelaburan, Penciptaan Jenama dan Trend Pasaran.

 

Bagi memantapkan keupayaan mahasiswa, mereka akan diberikan pendedahan mengenai peluang yang disediakan dalam bentuk geran perniagaan oleh Agensi Kerajaan dan pinjaman perniagaan yang ditawarkan oleh pihak bank.

 

Bertepatan dengan kewujudan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) sebagai Pusat Sehenti (One Stop Centre) bagi warga UiTM untuk mendapatkan maklumat dan rujukan utama dalam aspek keusahawanan dari kalangan mahasiswa, alumni dan staf universiti. Usaha untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan secara berterusan dan menjadi amalan di dalam kampus mampu memacu kepada perubahan yang positif bagi melahirkan lebih ramai ikon usahawan universiti pada masa akan datang. - DagangNews.com

 

sitihafsah

Sr. Ts. Siti Hafsah Zulkarnain merupakan Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa, Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA. Emel: siti_hafsah@uitm.edu.my