Blueshark meterai usaha sama pelbagai hala untuk merevolusikan mobiliti urban hijau di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Blueshark meterai usaha sama pelbagai hala untuk merevolusikan mobiliti urban hijau di Malaysia

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jeff Chong; Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - Pembekal skuter elektrik pintar terkemuka, Blueshark bersama EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan usaha sama pelbagai hala yang dimeterai dengan beberapa pemain industri tempatan atas sebahagian daripada langkah jenama itu untuk memperkenalkan dirinya dalam pasaran Malaysia.

 

Kehadiran Blueshark di Malaysia bakal mendukung mobiliti lestari buat penduduk tempatan dengan menggandingkan teknologi berimpak tinggi serta pendekatan holistik terhadap mobiliti urban hijau. 

 

Matlamatnya adalah untuk memangkin perniagaan dari sudut logistik dengan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sambil memudahkan kegiatan ekonomi sambilan, sekali gus membekalkan akses yang lebih baik ke atas pelbagai peluang kerjaya buat komuniti B40. 

 

Melangkaui produk dan model perniagaannya, Blueshark juga komited untuk menambah baik dan meluaskan infrastruktur bagi kenderaan elektrik beroda dua (2WEV) dengan ekosistem berdaya maju yang pertama seumpamanya dirumus untuk mendukung pertumbuhannya dalam skala nasional.

 

Naib Pengerusi Eksekutif (Bukan Bebas) EP Manufacturing Bhd (EPMB), Zulkefly Baharuddin berkata, mereka percaya cara paling efektif menggiatkan penerimagunaan kenderaan elektrik (EV) dengan membekalkan para pengguna akses ke atas produk lebih baik dan mampu milik, dikuasakan penyelesaian tenaga berwajaran serta ekosistem lengkap untuk menyokongnya. 

 

"Sehubungan itu, kami percaya bahawa sebagai perintis dalam industri ini, Blueshark merupakan jenama paling diyakini yang memiliki teknologi, infrastruktur dan ketersediaan untuk menembusi pasaran pada saat ini.

 

“Pengenalan Blueshark di Malaysia bakal mendukung mobiliti lestari buat penduduk tempatan dan memangkin perniagaan dari sudut logistik dengan memperkasakan PKS di samping memudahkan kegiatan ekonomi sambilan. 

 

"Menggandingkan teknologi berimpak tinggi dengan pendekatan yang holistik terhadap mobiliti urban hijau, Blueshark bermatlamat untuk menjana pelbagai peluang buat warga Malaysia dengan membekalkan sebuah alternatif selamat, mudah diakses dan neutral karbon bagi pergerakan harian mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif (ASEAN) EP Blueshark Sdn Bhd, Jeff Chong Chan berkata, langkah yang sedang diorak adalah asing dalam sejarah automotif dunia.

 

"Kami percaya berbekalkan ekosistem produk dan model perniagaan yang unik, kami dapat menjadikan produk kami lebih mudah untuk diakses oleh semua, terutamanya golongan B40.

 

 "Kami akan memberi perhatian khusus untuk memperkasakan golongan yang kurang mendapat perhatian ini dengan subsidi, peluang pekerjaan hijau, program keusahawanan hijau dan banyak lagi," katanya.

 

Terdahulu, di Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau & Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022 hari ini, Blueshark telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan pemain industri terkemuka bagi menjana peluang pekerjaan berasaskan kelestarian buat komuniti B40 sambil memudahkan penerimagunaan skuter elektrik pintar. 

 

Rakan-rakan kongsi tersebut terdiri daripada pengilang dan pengedar rasmi mereka sendiri, EPMB di samping Blueshark Ecosystem Sdn Bhd serta Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC) . MoC dengan infrastruktur dan rakan kongsi operasi lain juga akan ditandatangani dalam masa terdekat. - DagangNews.com