KUALA TERENGGANU 14 Nov - Barisan Nasional (BN) Terengganu sebulat suara bersetuju agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata kepimpinan Ismail Sabri telah terbukti berjaya membawa Malaysia keluar dari kemelut ekonomi akibat pandemik COVID-19 seterusnya mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga tahun 2022 (S2 2022: 8.9 peratus).
Ahmad berkata, walaupun Ismail Sabri berdepan pelbagai kekangan disebabkan kabinet pimpinannya terdiri daripada kerajaan campuran, penyandang Parlimen Bera itu telah menunjukkan kewibawaannya untuk terus memacu Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyatnya.
"Apatah lagi, sekiranya BN mendapat majoriti dua pertiga pada hari penentuan 19 November ini, pastinya Malaysia akan terus melakar kegemilangan dan lebih banyak rekod pencapaian terbaik Ismail Sabri dapat dilakukan pada masa depan.
"Oleh itu, saya berharap rakyat Malaysia tidak akan terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya jawatan Perdana Menteri akan 'dirampas' oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana dakwaan itu langsung tidak berasas," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Senada dengan beliau ialah Timbalan Pengerusi BN Terengganu iaitu Datuk Din Adam yang menegaskan perkara itu tidak sepatutnya timbul kerana ia telah dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.
"Sentimen ini sengaja dicipta pembangkang kerana mereka sangat terdesak dan 'kehabisan modal untuk menyerang' BN.
"Mereka tidak boleh cari kesalahan Ismail Sabri kerana rekod dan prestasinya semasa mentadbir kerajaan adalah bersih, jauh mengatasi pencapaian mereka.
"Oleh itu, mereka mengalihkan perhatian pengundi dengan isu Perdana Menteri sedangkan kami, orang UMNO sendiri telah sepakat dengan cadangan Presiden bahawa Ismail Sabri lah yang akan mengemudi pentadbiran negara nanti.
"Bagaimanapun, kita tidak akan berdiam diri sebaliknya penjelasan akan diberi berterusan agar tiada pihak yang akan termakan umpan fitnah pihak pembangkang ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pembangkang dilihat sangat terdesak hingga terpaksa
mencipta naratif memfitnah UMNO dengan memainkan isu tersebut kerana mereka risau penerimaan positif rakyat terhadap kepimpinan Ismail Sabri.
"Ini kerana, beliau berjaya mengemudi cabaran ekonomi seperti inflasi dan kenaikan harga barang juga, telah berjaya dikawal dengan baik.
"Pelbagai bantuan serta subsidi turut diberikan untuk memastikan rakyat tidak terbeban. Begitu juga dengan dasar dan aspirasi kerajaan Keluarga Malaysia yang jelas memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.
"Prestasi Ismail Sabri jauh lebih baik daripada Perdana Menteri dari Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Walaupun setahun mentadbir, pelbagai kejayaan ekonomi telah kita capai.
"Ketetapan BN meletakkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri adalah jelas dan tidak boleh diubah. Hampir semua daripada 191 bahagian meluluskan usul bagi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
"Pembangkang tak perlulah memainkan naratif ini. Carilah isu lain untuk berkempen secara matang dan sihat," katanya. - DagangNews.com