KUALA LUMPUR 11 Feb - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengambil langkah serta tindakan penyeliaan sewajarnya ke atas CIMB Group Holdings Bhd sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang atau pengawalseliaan dalam insiden membabitkan kesilapan pemprosesan bank itu, baru-baru ini.
Ketika menegaskan perkara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ketetapan pengawalseliaan berkenaan, termasuk aspek pematuhan piawaian pengurusan risiko yang boleh diterima.
"Kita sedang meneliti keadaan khusus yang membabitkan insiden terbabit," katanya seperti dilaporkan BERNAMA selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021 dalam sidang media secara maya di sini hari ini.
Malah, Nor Shamsiah berkata, BNM juga telah meminta CIMB untuk memastikan usaha bagi mendapatkan semula dana terbabit tidak akan menjejaskan keupayaan pelanggan mendapat akses ke atas akaun masing-masing selain membolehkan pilihan munasabah untuk mereka memulangkan semula lebihan dana berkaitan.
Terdahulu pada 6 Februari lalu, CIMB telah menjelaskan bahawa terdapat kesilapan pemprosesan dalam sistem perbankannya yang menyebabkan sejumlah akaun dibekukan dan bank itu sedang menghubungi pelanggan terbabit bagi memastikan penyelesaian secara adil serta terurus.
Media melaporkan CIMB memberi jaminan pelanggannya tidak akan kehilangan sebarang dana serta tiada sebarang kesan terhadap sistem bank berhubung kesilapan pemprosesan yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka minggu lalu.
CIMB berkata, pihaknya juga sudah mengambil langkah untuk menahan atau lebih dikenali sebagai 'earmark' amaun kredit pendua itu kerana jumlah itu bukan milik pelanggan dan bank mempunyai kewajipan untuk memastikan wang dipulangkan.
"CIMB ingin menjelaskan sumber dana terlebih bagi transaksi pendua itu adalah diambil daripada wang pihak bank, dan bukannya daripada pengirim mahupun pelanggan penerima. Akaun pelanggan juga tidak dibekukan dan mereka masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan.
"Sehingga hari ini, tiada wang yang telah didebitkan daripada akaun pelanggan yang terkesan," kata kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu seperti dilaporkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan CIMB masih mengadu akaun dibekukan, lapor polis
Kata CIMB lagi, insiden yang berlaku itu adalah berkaitan dengan ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu, yang menyebabkan pemindahan transaksi yang dibuat kepada pelanggan kami diproses dua kali secara tidak sengaja.
Ini, katanya, mengakibatkan sebilangan terhad pelanggan CIMB terkesan kerana menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu jumlah diterima adalah dua kali ganda yang sepatut diterima.
Bank juga dalam perbincangan dan sedia bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus, termasuk memberikan bukti dan dokumentasi jelas mengenai duplikasi kredit tercatat di penyata bank dan menyediakan skim pembayaran balik fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan. - DagangNews.com