BNM, Bank Indonesia perluas rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah  | DagangNews Skip to main content

BNM, Bank Indonesia perluas rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah 

 

 


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengumumkan perluasan
rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah. 

 

Rangka kerja ini dilancarkan buat kali pertama pada 11 Disember 2017 selaras dengan Memorandum
Persefahaman antara BNM dengan BI yang ditandatangani pada 23 Disember 2016. 

 

Menurut BNM, perluasan yang akan berkuat kuasa mulai hari ini (2 Ogos), merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Indonesia.

 

Selain perdagangan, katanya, kini rangka kerja yang diperluas ini merangkumi pelaburan langsung, pendapatan dan pindahan sebagai transaksi asas yang layak. 

 

"Rangka kerja ini juga memperluas pengguna yang layak, seperti orang perseorangan, dan dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas bagi memudahkan pelaksanaan rangka kerja ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Melalui perluasan ini, BNM dan BI juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah yang diperluas ini. 

 

"Secara umumnya, bank-bank yang dilantik mempunyai pengalaman dalam memudahkan kegiatan perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, mempunyai jumlah pelanggan yang besar dan telah mewujudkan hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini," jelasnya. 

 

Bank-bank yang dilantik di Malaysia adalah HSBC Bank Malaysia Berhad dan MUFG Bank Malaysia Berhad manakala bank sedia ada pula termasuklah CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad. 

 

Bagi Indonesia pula, bank tambahan yang dilantik adalah PT Bank HSBC Indonesia dan MUFG Bank Ltd. cawangan Jakarta manakala bank sedia ada teramsuklah PT Bank Rakyat Indonesia (Persero) Tbk, PT Bank Mandiri (Persero) Tbk, PT Bank Central Asia Tbk, PT Bank Negara Indonesia (Persero) Tbk, PT Bank CIMB Niaga Tbk dan PT Bank Maybank Indonesia Tbk. - DagangNews.com