BNM denda Bank of China Malaysia RM88,000 akibat langgar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 | DagangNews Skip to main content

BNM denda Bank of China Malaysia RM88,000 akibat langgar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013

Gambar Bank of China Malaysia.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) [1] sebanyak RM88,000 terhadap Bank of China (Malaysia) Berhad (BOCM) pada 22 Julai 2024 berikutan kegagalan mematuhi keperluan kehematan yang disyaratkan untuk pengaturan penyumberan luar yang penting. 

 

Bank of China Malaysia gagal mendapatkan kelulusan BNM sebelum menempatkan semula dua sistemnya ke pusat data baharu pada Disember 2022 dan Februari 2023. 

 

BNM dalam kenyataan berkata, hal ini tidak mematuhi perenggan 48(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Financial Services Act 2013, FSA) yang dibaca bersama dengan perenggan 12.1(b) Dokumen Dasar Penyumberan Luar (Outsourcing PD).

 

 

"Dua sistem tersebut merupakan sistem perbankan teras, dan penempatan semula sistem ini dianggap sebagai perubahan besar pada pengaturan penyumberan luar sedia ada yang telah diluluskan kerana tindakan itu boleh mengubah dedahan tahap dan/atau jenis risiko bagi Bank of China Malaysia. 

 

"Menurut Outsourcing PD, sesebuah institusi kewangan perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada BNM sebelum membuat perubahan besar pada mana-mana pengaturan penyumberan luar penting sedia ada yang telah diluluskan. 

 

"Keperluan ini adalah untuk memastikan BNM terus mengekalkan kemampuan untuk menyelia institusi kewangan secara berkesan," katanya hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: BNM denda Maybank RM4.3 juta, CIMB RM760,000 akibat perkhidmatan e-perbankan tergendala

 

Menurut BNM, ketidakpatuhan ini disebabkan oleh adanya jurang dalam pemantauan Bank of China Malaysia terhadap aktiviti penyumberan luarnya serta terhadap dasar dan prosedur dalaman berkaitan penyumberan luar. 

 

Kata bank pusat itu, Bank of China Malaysia telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengukuhkan pemantauan terhadap amalan penyumberan luar.

 

Ujarnya, ini termasuk menetapkan semakan berkala terhadap pengaturan penyumberan luarnya serta menambah baik penyelarasan dengan pelbagai fungsi kumpulannya yang menjalankan aktiviti penting untuk memastikan pematuhan pada undang-undang negara yang berkaitan pada setiap masa.

 

"Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk fakta-fakta kes di atas serta rekod ketidakpatuhan Bank of China Malaysia yang lepas.

 

"Bank of China Malaysia telah membayar RM88,000 bagi AMP yang dikenakan oleh BNM pada 2 Ogos 2024.

 

"Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam dokumen Pendekatan Penguatkuasaan yang diterbitkan," katanya.

 

Menurut laman webnya, Bank of China telah menubuhkan cawangan pertamanya di Malaysia pada tahun 1939 dan kemudiannya menghentikan operasi pada tahun 1959.

 

Dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan yang pesat antara Malaysia dan China, bersama dengan sokongan daripada kedua-dua kerajaan, Bank of China (Malaysia) Berhad secara rasmi memulakan semula perniagaannya sebagai bank komersial penuh pada 23 Februari 2001. - DagangNews.com