Hibiscus naikkan pembayaran dividen sebanyak 1.0 sen kepada 8.5 sen bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Hibiscus naikkan pembayaran dividen sebanyak 1.0 sen kepada 8.5 sen bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Hibiscus Petroleum Berhad mengumumkan lembaga pengarah kumpulan bersetuju dengan pembayaran dividen tambahan sebanyak 1.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan pada hujung tahun ini.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, ia menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk FY24 kepada 8.5 sen sesaham biasa, mewakili peningkatan sebanyak 36% berbanding dividen yang dibayar pada FY23.

 

Hibiscus Petroleum juga mengumumkan panduan dividennya untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) dengan sasaran minimum sebanyak 8.0 sen sesaham biasa sekiranya harga purata minyak Brent untuk FY25 melebihi AS$70 setong atau 10.0 sen jika minyak Brent berharga melebihi AS$80 setong.

 

Pengarah Urusannya, Dr Kenenth Pereira berkata, rangka kerja peruntukan modal kumpulan itu menyokong perbelanjaan modal dan mengutamakan pembayaran dividen.

 

"Kami mempunyai pencetus nilai kukuh dari segi projek yang sedang dijalankan pada 2024 dan 2025, termasuk projek Waterflood SF30 Sabah Utara, pembangunan Teal West di UK dan cadangan pemerolehan aset pengeluar gas di Brunei.

 

"Kami juga mempunyai pelan hab induk PM3 untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan dari 2026 dan seterusnya," katanya. - DagangNews.com