BNM dijangka kekalkan OPR 1.75%, kata Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka kekalkan OPR 1.75%, kata Standard Chartered

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Standard Chartered Bank Malaysia (Standard Chartered) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% dalam mesyuarat dasar 10 September ini.

Standard Chartered dalam nota kajiannya berkata, BNM telah melakukan pemotongan 125 mata asas (bps) komulatif dalam empat mesyuarat terakhir sebelum ini.

"Pemotongan yang dibuat itu mengambil kira kadar dasar utama di tahap rendah 2% yang ditetapkan semasa krisis kewangan global (GFC)," kata Standard Chartered.

Dalam nota kajian yang sama, Standard Chartered turut menjangkakan BNM akan menghentikan seketika penurunan OPR dan membuat penilaian saham berdasarkan kepada beberapa sebab tertentu.

"Pertama ialah ekonomi global yang dibuka semula termasuk Malaysia serta kekerapan data yang menunjukkan peningkatan yang jelas.

"Kedua, unjuran data ekonomi tetap yang tidak menentu akibat perintah berkurung," jelas Standard Chartered.

Selain itu, jangkaan turut dibuat berdasarkan kepada tindakan BNM yang telah menurunkan kadar OPR ke paras terendah.

Standard Chartered juga melihat kepada jangkaan pemotongan kadar OPR yang selanjutkan hanya memberi kesan margin yang terhad serta mengurangkan peluang dasar di masa hadapan.

"Kami yakin BNM boleh mengambil keputusan tunggu dan lihat.

"BNM mungkin menurunkan kadar dasar sekiranya gelombang kedua jangkitan COVID-19 berlaku hingga menjejaskan aktiviti pemulihan baru-baru ini atau pelaksanaan langkah fiskal lemah," tambah Standard Chartered lagi. - DagangNews.com