BNM dijangka terus kekal OPR pada paras 3% tahun hadapan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

BNM dijangka terus kekal OPR pada paras 3% tahun hadapan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - MIDF Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3% pada tahun hadapan.

 

Katanya, fokus penetapan dasar monetari BNM adalah bagi  memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, persekitaran luaran akan kekal mencabar pada 2024 kesan ketegangan geopolitik, paras harga yang tinggi dan risiko kelembapan ekonomi global.

 

"Prospek ekonomi domestik diramalkan kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil.

 

"Bagaimanapun, kestabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3%

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam makroekonomi, terutamanya pasaran tenaga kerja dan permintaan domestik.

 

Katanya, bagi perspektif jangka sederhana, penetapan dasar monetari akan mengelak risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi seperti inflasi yang tinggi dan peningkatan dalam kadar hutang isi rumah.

 

"Memandangkan OPR sudah berada pada kadar biasa yang menyokong pertumbuhan mampan dalam ekonomi Malaysia, kami menjangkakan ia kekal pada paras semasa pada tahun hadapan," katanya. - DagangNews.com