BNM kekalkan OPR 1.75% | DagangNews Skip to main content

BNM kekalkan OPR 1.75%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.

Ini adalah berikutan, BNM berkata, ekonomi global terus menunjukkan pemulihan didorong penambahbaikan dalam aktiviti pembuatan dan eksport. 

Jelas bank itu, indikator terkini menunjukkan bahawa aktiviti ekonomi meningkat di kebanyakan ekonomi maju dan serantau dengan momentum pemulihan yang lebih ketara di China. 

“Bagaimanapun, peningkatan semula kes COVID-19 telah menyebabkan beberapa ekonomi utama untuk melaksanakan semula langkah sekatan walaupun secara umumnya lebih longgar daripada sebelumnya. 

“Ini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi global akan kekal tidak menentu dalam tempoh masa tedekat. Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun penghindaran risiko tetap ada,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Kata BNM, prospek keseluruhannya masih bergantung kepada risiko penurunan terutamanya didorong oleh risiko lonjakan semula jangkitan COVID-19 yang menyebabkan perniagaan, pengambilan pekerjaan dan keadaan pendapatan lebih lemah. 

Di Malaysia, indikator baru-baru ini menunjukkan aktiviti ekonomi bertambah baik dengan ketara memasuki suku ketiga. 

Namun, pelaksanaan semula sekatan bersasar untuk mengekang penularan COVID-19 di beberapa buah negeri mungkin menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat. 

“Sejajar dengan penilaian sebelum ini, inflasi keseluruhan dijangka sederhana negatif pada tahun ini memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah. 

“MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Pengurangan OPR sebanyak 125 bps secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi. 

"BNM terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” tambah BNM. 

Mesyuarat berkenaan turut meluluskan jadual perjumpaan MPC untuk tahun 2021. - DagangNews.com