BNM kesal MyCC denda PIAM dan 22 ahli  | DagangNews Skip to main content

BNM kesal MyCC denda PIAM dan 22 ahli 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) kesal dengan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mendapati Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan 22 ahlinya telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Keputusan itu diambil apabila pihak tersebut memeterai perjanjian berhubung dengan pemberian diskaun jual beli ke atas harga alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam bagi kerja pembaikan kenderaan motor oleh bengkel di bawah PIAM Approved Repairers Scheme (PARS). 

BNM berkata, perjanjian tersebut dilaksanakan melalui kerjasama dan arahan pihaknya kepada penanggung insurans am bagi menangani pertikaian antara bengkel dengan syarikat insurans am yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada pengguna.

“Hal ini disebabkan oleh kelewatan dan perselisihan yang berpanjangan berhubung dengan bayaran tuntutan insurans untuk pembaikan kenderaan motor. Pengaturan yang dipersetujui telah dilaksanakan selepas perbincangan diadakan antara PIAM dengan Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Kereta Malaysia (FAWOAM). 

“Hasil daripada campur tangan pengawalseliaan BNM, kelewatan penyelesaian tuntutan akibat pembaikan kenderaan motor telah berkurang dengan ketara dan pemegang polisi mendapat perkhidmatan yang lebih baik melalui proses penyelesaian tuntutan yang lebih cekap. 

“Sebagai contoh, tempoh purata dari tarikh pemakluman sesuatu kemalangan kepada selesainya kerja-kerja pembaikan telah berkurang sebanyak 55% sejak tahun 2010,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain mengenakan penalti dalam bentuk kewangan, MyCC juga mengarahkan pihak yang terlibat supaya berhenti dan dilarang daripada memberikan diskaun jual beli alat ganti dan kadar upah pekerja mengikut jam yang telah dipersetujui. 

Jelas BNM, jumlah diskaun dan kadar upah perlu ditetapkan secara bebas oleh penanggung insurans dan bengkel.

Tambah BNM, keputusan yang dibuat oleh MyCC itu mungkin menjejaskan hasil positif yang dicapai pada masa lalu serta inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh BNM dan industri untuk menangani kes penipuan dan meningkatkan kecekapan dalam proses tuntutan motor. 

Seterusnya, keputusan itu akan mempunyai kesan yang kompleks dan meluas terhadap akses dan kos insurans motor bagi pengguna Malaysia. 

“Berikutan keputusan yang dibuat oleh MyCC ini, BNM akan mengikut proses yang sewajarnya dan meneliti pilihan yang ada bagi melindungi kepentingan orang ramai yang menggunakan kenderaan motor. 

“Jika mana-mana pemegang polisi menghadapi kelewatan yang tidak wajar dalam pembaikan dan pelepasan kenderaan anda, sila hubungi penanggung insurans masing-masing untuk mendapatkan nasihat,” ujar BNM. - DagangNews.com