BNM lancar kempen e-Duit, sasar percepatkan penggunaan e-pembayaran dalam tempoh 5 tahun | DagangNews Skip to main content

BNM lancar kempen e-Duit, sasar percepatkan penggunaan e-pembayaran dalam tempoh 5 tahun

KUALA LUMPUR 29 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) menyasarkan untuk mempercepatkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan perniagaan dan isi rumah sebanyak 15% dalam tempoh lima tahun datang menerusi kempen e-Duit.

 

Ia juga meningkatkan transaksi e-pembayaran per kapita daripada 221 kepada 400 transaksi menjelang 2026.

 

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, BNM memberikan komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan teras strategik yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026. 

 

Katanya, kempen e-Duit dan pengembangan iTEKAD menjadi bukti komitmen BNM yang berterusan.

 

"Selaras dengan aspirasi ini, BNM dan industri pembayaran akan memastikan ketersediaan dan akses
kepada instrumen e-pembayaran yang pelbagai seperti kad pembayaran; pembayaran atas talian; dan kod QR pada kos yang kompetitif. 

 

"Hasil gabungan usaha kerajaan dan industri pembayaran, kita telah berjaya merekodkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan e-pembayaran di bandar dan juga di luar bandar," katanya semasa Majlis Pembukaan Pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 (FLM 2022),  pagi ini

 

 

BNM
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour (enam dari kiri) ketika merasmikan Pameran Bulan Literasi Kewangan 2022, pagi ini.

 

 

Dengan slogan 'Selamat, Senang, Segera', e-Duit merupakan kempen kesedaran yang bertujuan menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia menggunakan e-pembayaran dengan cara yang selamat. 

 

Kempen itu menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai serta membina keyakinan pengguna terhadap penggunaan e-pembayaran dan seterusnya menyokong usaha pendigitalan dalam ekonomi Malaysia.

 

Dalam pada itu, Abdul Rasheed turut mengalu-alukan lima institusi kewangan peserta baharu bagi program iTEKAD. 

 

Katanya, penyertaan institusi terbabit menjadikan jumlah keseluruhan institusi kewangan peserta iTEKAD meningkat kepada lapan buah bank, dengan pelaksanaan program yang merangkumi kesemua 14 buah negeri di Malaysia.

 

"Perkembangan ini pastinya akan memperluas jangkauan program skim pembiayaan campuran ini untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah. 

 

"Oleh itu, besarlah harapan saya supaya inisiatif e-duit dan iTEKAD dapat menyokong rakyat untuk memanfaatkan peluang ekonomi dan membina kesejahteraan kewangan secara menyeluruh," jelasnya. - DagangNews.com