BNM perhalusi Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Takaful Digital setelah terima maklum balas industri | DagangNews Skip to main content

BNM perhalusi Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Takaful Digital setelah terima maklum balas industri

Bank Negara Malaysia cawangan Perak - Gambar Hiasan
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Okt - Bank Negara Malaysia mahu memperhalusi beberapa aspek Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (DITO) yang diterbitkan pada November 2022.

 

Langkah tersebut diambil kata bank pusat, setelah mempertimbangkan maklum balas dan pandangan tambahan yang diperoleh dengan teliti.

 

"Langkah ini termasuk penambahbaikan untuk memperjelas model perniagaan yang baharu muncul dan inovatif seperti insurans sertaan (embedded insurance) dan insurans sebagai perkhidmatan (insurance-as-a-service).

 

"Hal ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas daripada peserta dalam rantaian nilai insurans dan takaful yang boleh mancapai hasil dasar yang dihasratkan dalam Rangka Kerja DITO.

 

"BNM merancang untuk memuktamadkan rangka kerja ini menjelang separuh pertama tahun 2024," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut BNM, draf Dedahan ini menggariskan cadangan rangka kerja untuk memudahkan penyertaan DITO di Malaysia yang boleh menawarkan cadangan nilai (value propositions) yang kukuh bagi mencapai hasil dasar dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan.

 

"Lebih 50 pihak berkepentingan telah memberikan maklum balas sepanjang tempoh maklum balas yang berakhir pada 28 April 2023," jelas bank pusat itu lagi.

 

Dalam bulan-bulan yang berikutnya, BNM meneruskan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan secara meluas untuk mempertimbangkan maklum balas yang diterima daripada Draf Dedahan tersebut, terutamanya mengenai model alternatif perniagaan dan operasi serta pendekatan kepada fasa asas.

 

"Input dan maklum balas bernas yang diterima telah memberikan perspektif tambahan, termasuk trend pasaran, bagi membentuk versi akhir dokumen dasar ini," kata BNM.

 

BNM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pandangan, idea dan cadangan sepanjang tempoh maklum balas ini. Pihak yang berminat dialu-alukan untuk terus memberikan maklum balas lanjut atau berbincang dengan BNM mengenai Rangka Kerja DITO menerusi [email protected]- DagangNews.com