BNM umum liberalisasi dasar pertukaran asing tarik FDI | DagangNews Skip to main content

BNM umum liberalisasi dasar pertukaran asing tarik FDI

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan liberalisasi selanjutnya dasar pertukaran asing (FEP) yang memberi lebih fleksibiliti kepada sektor perniagaan. 

 

Menurut bank pusat, langkah ini merupakan usaha berterusan BNM untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan memupuk persekitaran yang kondusif bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

"Proses liberalisasi secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah selaras dengan kedudukan luaran Malaysia yang lebih kukuh dan pasaran kewangan yang lebih berdaya tahan. 

 

"Oleh itu, langkah-langkah ini akan memberi lebih fleksibiliti kepada industri pengeksportan bertujuan meningkatkan sokongan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Langkah-langkah berikut berkuat kuasa pada 15 April 2021. 

 

Pemansuhan peraturan penukaran eksport

  • Pengeksport pemastautin kini boleh menguruskan penukaran perolehan eksport berdasarkan keperluan aliran tunai mata wang asing mereka.

 

Pengeksport pemastautin boleh menyelesaikan perdagangan domestik dalam mata wang asing dengan pemastautin lain yang terlibat dalam rantaian bekalan global
 

  • Menyedari akan pentingnya kedudukan industri pengeksportan Malaysia dalam rantaian bekalan global, langkah ini akan memudahkan lindung nilai semula jadi (natural hedge) bagi pengeksport pemastautin dan rakan niaga mereka yang terlibat dalam rantaian bekalan tersebut untuk mengurus risiko pertukaran asing dengan lebih baik.

 


Pengeksport pemastautin boleh melanjutkan tempoh penerimaan perolehan eksport melebihi enam bulan bagi sebab-sebab yang tertentu

  • Fleksibiliti ini memberi pengecualian kepada pengeksport daripada keperluan mendapatkan kelulusan Bank bagi membawa balik perolehan eksport mereka melebihi jangka masa enam bulan untuk sebab-sebab yang tertentu di luar kawalan pengeksport. Untuk tujuan lain, kelulusan daripada Bank masih diperlukan.

 

Pengeksport pemastautin boleh melaksanakan pengaturan bersih (net-off arrangement) terhadap perolehan eksport dengan obligasi mata wang asing yang dibenarkan

  • Melalui fleksibiliti ini, pengeksport tidak perlu lagi mendapatkan kelulusan Bank untuk melaksanakan pengaturan bersih yang melibatkan perolehan eksport. Fleksibiliti ini dijangka akan meningkatkan kecekapan perniagaan melalui pengurusan aliran tunai pengeksport yang lebih baik. 

 

Syarikat pemastautin boleh melaksanakan lindung nilai derivatif komoditi menerusi rakan niaga bukan pemastautin
 

  • Sebagai tambahan kepada akses sedia ada melalui broker niaga hadapan pemastautin, syarikat pemastautin kini dibenarkan melaksanakan urus niaga derivatif komoditi menerusi broker niaga hadapan bukan pemastautin.
  • Fleksibiliti ini menyediakan saluran dan pilihan pengurusan risiko yang lebih luas kepada syarikat pemastautin untuk melindung nilai risiko harga komoditi mereka. - DagangNews.com