Boikot Starbucks: Maybank IB turunkan lagi harga sasaran saham Berjaya Food kepada 40 sen daripada 52 sen | DagangNews Skip to main content

Boikot Starbucks: Maybank IB turunkan lagi harga sasaran saham Berjaya Food kepada 40 sen daripada 52 sen

Berjaya Food mempunyai 411 kedai Starbucks pada akhir 2QFY24.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 Feb - Kerugian besar RM42.58 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) berbanding keuntungan bersih RM35.49 juta setahun lebih awal mendorong Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan harga sasaran (TP) Berjaya Food Berhad kepada 40 sen daripada 52 sen sesaham (-12 sen) sebelum ini.

 

Kerugian besar itu diakui disebabkan boikot pengguna terhadap Starbucks susulan konflik Israel-Palestin.

 

Menurut Maybank IB, prospek pertumbuhan jangka masa panjang bagi Berjaya Food juga boleh kekal negatif jika ketegangan geopolitik Asia Barat berlarutan dan hakisan keyakinan jenama menjadi kekal dalam kalangan pengguna negara ini.

 

Sehubungan itu, katanya, mengambil kira keputusan kewangan yang lemah, kerugian bersih Berjaya Food kini diunjurkan sebanyak RM18 juga pada FY24E.

 

"Kami juga menganggarkan pendapatan FY25E-FY26E Berjaya Food merosot sebanyak 26% setahun," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Saham Berjaya Food berakhir 1.5 sen lebih rendah atau 2.56% kepada 57 sen ketika pasaran ditutup Rabu, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM1.11 bilion.

 

Pada dagangan pagi hari ini, saham Berjaya Food terus menyusut kepada 54 sen.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Boikot Starbucks akibatkan Berjaya Food kerugian besar RM42.58 juta

 

Maybank IB pada 13 Disember 2023 telah menurunkan harga sasaran Berjaya Food kepada 52 sen berbanding 63 sen sesaham.

 

Jelas firma penyelidikan itu, Berjaya Food dijangkakan bakal menghadapi tekanan pendapatan yang berterusan dalam suku tahun berturut-turut.

 

Katanya, walaupun tahap keseriusan boikot mungkin berkurangan dari semasa ke semasa, namun pilihan pengguna juga mungkin beralih secara kekal kepada pesaing Berjaya Food disebabkan oleh hakisan jenama.

 

BFOOD

 

"Walaupun secara tradisinya perbelanjaan pengguna lebih kukuh semasa tempoh perayaan akhir tahun, namun hasil 2QFY24 Berjaya Food jatuh 35% QoQ disebabkan boikot berleluasa terhadap Starbucks dari akhir Oktober 2023 dan seterusnya.

 

"Usaha Berjaya Food untuk meningkatkan pelanggan melalui kekerapan promosi jualan yang lebih tinggi juga melemahkan margin operasi sebanyak -24.4ppts QoQ.

 

"Pada akhir 2QFY24, BFD mempunyai jumlah kedai sebanyak 411 Starbucks (+6 QoQ) dan 68 kedai Kenny Rogers Malaysia (-2 QoQ)," ujarnya. - DagangNews.com