BoomGrow, CelcomDigi jalin kerjasama strategik sepadukan 5G, lancarkan mesin ladang dijana AI | DagangNews Skip to main content

BoomGrow, CelcomDigi jalin kerjasama strategik sepadukan 5G, lancarkan mesin ladang dijana AI

Dari kiri:ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo;Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Pengasas Kumpulan Hunza, Datuk Seri Khor Teng Tong; Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama BoomGrow, Murali Krishnamurthy
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - BoomGrow Productions Sdn Bhd dan CelcomDigi Bhd menjalin kerjasama strategik menyepadukan ketersambungan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan realiti lanjutan (XR) dengan kejituan teknologi pertanian.

 

Perkongsian tersebut merupakan langkah maju ke hadapan dalam mengguna pakai teknologi maju untuk meningkatkan amalan kelestarian pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia.

 

Menerusi perkongsian itu, CelcomDigi menyediakan ketersambungan 5G, disokong oleh ZTE bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan Ladang Mesin BoomGrow. 

 

Menurut kenyataan hari ini, BoomGrow dan CelcomDigi berkata, penyepaduan teknologi 5G dengan AI dan XR membolehkan pemantauan masa sebenar, kawalan tepat persekitaran ladang dan analitik unjuran, yang  mendorong kepada peningkatan hasil pertanian dan kecekapan keseluruhan sumber. 

 

"Data daripada semua mesin ladang di seluruh negara akan disatukan ke dalam papan pemuka terpusat, membolehkan penelitian dan pengurusan yang lancar. 

 

"Semua ini dapat dilaksanakan oleh rangkaian paling pantas dan paling luas CelcomDigi di Malaysia, memastikan ketersambungan menyeluruh dan boleh diharap pada semua mesin ladang," ujarnya. 

 

Kerjasama itu dilaksanakan pada tiga bidang utama inovasi di dalam teknologi pertanian termasuk penjanaan mesin ladang BoomGrow oleh ketersambungan 5G CelcomDigi, dan menerusinya, disambungkan kepada sistem pengawasan dan pengimbas bersepadu. 

 

Selain itu, menganalisis set data kompleks dan visual tanaman serta memberikan maklum balas dikuasakan AI bagi mempertingkatkan proses membuat keputusan dan menambah baik keseluruhan pengeluaran.

 

Di samping itu, memanfaatkan teknologi XR dikuasa XR Associate, ahli agronomi boleh menyertai program latihan imersif secara jarak jauh serta membolehkan mereka memperoleh pengalaman sebenar dan kepakaran di dalam menguruskan sistem pertanian moden dari lokasi berbeza. 

 

Perkongsian itu dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang yang merupakan satu daripada lokasi BoomGrow melaksanakan mesin ladang.

 

Dalam ucapannya, Gobind berkata, penyepaduan 5G dan teknologi maju lain ke dalam pertanian boleh melonjakkan pengeluaran dan menyumbang kepada kemampanan dan daya tahan sistem makanan di negara.

 

Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan berkata perkongsiannya Bersama BoomGrow menggariskan komitmen kami memajukan 5G di Malaysia dan ekosistem inovasi digital menerusi perkongsian dengan pemain teknologi tempatan dan global. 

 

"Kami terus usaha memperkasakan industri dengan teknologi dan alat baharu muncul yang diperlukan untuk berjaya dalam era digital ini, di mana kami maju ke hadapan bagi mempercepatkan transformasi negara menjadi masyarakat digital dikuasa 5G-AI,” kata Kugan.

 

Pengasas dan CEO BoomGrow, Murali Krishnamurthy menekankan penyepaduan teknologi 5G ke dalam operasnya membolehkan syarikat meneroka tahap kecekapan dan kemampanan baharu, memacu masa hadapan bidang pertanian. 

 

"Dengan ketersambungan dipertingkatkan ini, para pelanggan kami akan meraih manfaat daripada kawalan dan unjuran lebih baik, memastikan keluaran tanaman yang konsisten berkualiti tinggi dan hasil yang boleh diharapkan," ujar beliau. - DagangNews.com