Boost tawar pembiayaan sehingga RM100,000 kepada PMKS | DagangNews Skip to main content

Boost tawar pembiayaan sehingga RM100,000 kepada PMKS

KUALA LUMPUR 4 Feb - Firma teknologi kewangan (fintech) Boost menawarkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah sehingga RM100,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dibiayai menerusi anak syarikat pinjaman digitalnya, Boost Credit.

 

Dikenali sebagai  ‘Capital Plus', kemudahan pembiayaan mikro Syariah berasaskan konsep komoditi Murabahah itu ideal untuk PMKS, kata  Boost dalam satu kenyataan.

 

Ia menawarkan pembiayaan serendah RM1,000 hingga RM100,000 dalam tempoh 15 bulan pada kadar keuntungan rendah 1.2 peratus sebulan, tanpa pembayaran balik pokok untuk tiga bulan pertama.

 

“PMKS tidak memerlukan sebarang penjamin atau cagaran untuk memohon pembiayaan ini,” kata Boost, yang merupakan anak syarikat Axiata Group Bhd.

 

Bagi peniaga di platform Boost yang memohon 'Capital Plus’ akan menikmati proses permohonan yang lancar dalam masa kurang daripada 10 minit dan dana itu akan disalurkan dalam masa 48 jam, tawaran menarik utama oleh Boost Credit.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Sheyantha Abeykoon berkata, satu daripada aspek utama ‘Capital Plus’ adalah moratorium tiga bulan bagi PMKS.

 

“Kami berharap PMKS akan dapat memanfaatkan kemudahan ini dari segi rangsangan kepada usaha pemulihan mereka dan menyediakan modal yang amat diperlukan bagi memulakan semula perniagaan mereka,” katanya. - DagangNews.com