Boustead jual kepentingan dalam University of Nottingham Malaysia bernilai RM137 juta | DagangNews Skip to main content

Boustead jual kepentingan dalam University of Nottingham Malaysia bernilai RM137 juta

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Syarikat konglomerat, Boustead Holdings Berhad kini bukan lagi pemegang saham majoriti di dalam University of Nottingham Malaysia (UNM) dan kampusnya di Semenyih, Selangor selepas menjual 66.41% kepentingan terbesar kumpulan bernilai £23.5 juta atau kira-kira RM137 juta. 

 

Kepentingan itu dijual kepada University of Nottingham, United Kingdom, di mana dilihat sebagai sebahagian daripada Strategi Mencipta Semula Boustead yang menumpukan kepada rasionalisasi aset bukan strategik dan mempercepatkan penambahbaikan prestasi kumpulan. 

 

“Seiring landasan (strategi) itu, Boustead telah membuat keputusan untuk memeterai perjanjian jualan saham bersyarat dengan University of Nottingham, United Kingdom, melepaskan 66.41% kepentingan mengawal dan sebuah kampus di Semenyih, Selangor pada nilai £23.5 juta. 

 

“University of Nottingham kini berhasrat untuk menjadi pemegang saham majoriti di dalam UNM dengan membeli saham Boustead di dalam UNM menerusi anak syarikat milik penuh di Malaysia,” jelas Boustead dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan TheEdge.

 

Sebagai rekod, Boustead memegang kepentingan majoriti di dalam UNM sejak penubuhan kampusnya pada tahun 2000, sementara YTL Corp Berhad dilaporkan mempunyai kira-kira 4% kepentingan dan 30% lagi dipegang oleh University of Nottingham.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, langkah untuk melepaskan kepentingan itu membolehkan kumpulan untuk memanfaatkan lagi kekuatan dan sumbernya dengan lebih berkesan untuk menyokong pembangunan pendidikan di Malaysia dalam skala yang lebih luas. 

 

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, ujar beliau, Boustead akan terus mewujudkan bentuk kerjasama dan perkongsian lain yang akan membantu menyediakan bakat bernilai tinggi pada masa hadapan, terutamanya dalam teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan internet kebendaan (IoT).

 

“Kami akan terus membina hubungan mantap dengan UNM, di samping memupuk hubungan dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang farmaseutikal, perladangan, marin dan ruang angkasa, serta minyak dan gas yang sejajar dengan kekuatan utama Boustead,” katanya. - DagangNews.com