Brahim's optimis mampu bangkit semula, kembali stabil | DagangNews Skip to main content

Brahim's optimis mampu bangkit semula, kembali stabil

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jun - Brahim’s Holdings Berhad (BHB) akan menstruktur semula syarikat untuk kembali ke kedudukan yang stabil selepas dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berkuat kuasa 3 Jun 2022.

 

Pengerusi Eksekutif BHD, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat itu terlibat menandatangani perjanjian dengan kesatria putih bagi melaksanakan pengumpulan dana yang dijangka menangani beberapa isu modal kerja, pembelian balik ekuiti dan pembayaran semula pinjaman.

 

"BHB bersedia untuk bangkit semula dengan pemulihan positif terutamanya dalam industri penerbangan, kami mempunyai keyakinan tinggi yang kami mampu untuk menyampaikannya, InsyaAllah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

BHB yang dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berkuat kuasa 3 Jun 2022, tetap meneruskan aktiviti utamanya menyediakan makanan kepada 35 pelanggan syarikat penerbangannya serta Malaysia Airlines dan perkhidmatan gudang berikat yang disediakan oleh Tamadam Industries Sdn Bhd di Pelabuhan Klang.

 

Bursa Malaysia berkata, setelah dinyahsenarai, syarikat itu akan terus wujud tetapi sebagai entiti tidak tersenarai. 

 

BACA JUGA: Brahim's dinyahsenarai: Kumpulan Dewina beroperasi seperti biasa

 

"Syarikat masih boleh meneruskan operasi dan perniagaannya serta meneruskan penstrukturan semula korporatnya, termasuk pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat. Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities," kata Bursa itu. - DagangNews.com