Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Anak syarikat Brahim’s Holdings Berhad (BHB) iaitu Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. (BSFS) yang menyalurkan katering makanan kepada syarikat penerbangan sedang meneroka peluang dalam segmen lain untuk kekal relevan.
Seperti syarikat penerbangan lain, BSFS turut terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan yang menyebabkan penutupan sempadan negara sekali gus menjejaskan operasi perniagaan kedua-duanya.
BSFS menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, strategi, perancangan dan tindakan telah dibuat untuk meneroka dan menerapkan perniagaan baharu dengan cara inovatif.
“Industri penerbangan dan pelancongan telah terjejas teruk akibat wabak ini dan penyelamatan perniagaan tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat. Orang awam masih ragu-ragu dan bimbang untuk melakukan perjalanan walaupun PKP tidak dilaksanakan lagi.
“Prospek perniagaan di segmen penerbangan tetap tidak menentu; sebarang polisi atau insentif yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung industri penerbangan tentunya akan memberi implikasi positif kepada BSFS.
“Kumpulan syarikat akan terus mengawasi perkembangan terkini pemulihan dan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan risiko pada masa akan datang, dan juga memberi maklumat terkini mengenai perkembangan selanjutnya,” jelas BSFS.
Ketika sempadan antarabangsa ditutup, pengeluaran produk BSFS telah menurun secara drastik.
Sebelum ini, syarikat itu telah melaksanakan Skim Pemisahan Bersama (MSS) yang menyaksikan separuh daripada 1,400 kakitangan terpaksa dihentikan.
“MSS ini diharapkan dapat menguruskan aliran tunai BSFS secara signifikan dan mengurangkan kerugian,” tambah kumpulan syarikat itu.
BHB merupakan syarikat pemegangan pelaburan kepada sekumpulan anak syarikat yang menguruskan perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Salah satunya adalah syarikat katering dalam penerbangan halal melalui kepentingan ekuiti 51%, Brahim's SATS Investment Holdings Sdn. Bhd. (BSIH) dan seterusnya memiliki 70% ekuiti BSFS.
Baki 30% ekuiti BSFS dimiliki oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB). - DagangNews.com