Buat deklarasi terbuka, tiada entiti swasta boleh ambil alih lapangan terbang Subang | DagangNews Skip to main content

Buat deklarasi terbuka, tiada entiti swasta boleh ambil alih lapangan terbang Subang

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kesatuan-kesatuan pekerja Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menggesa kerajaan supaya membuat deklarasi terbuka bahawa pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) oleh WCT Holdings Berhad tidak akan berlaku.

 

Kesatuan pekerja yang terdiri daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB Semenanjung (Kesma); Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB  Sarawak (Kepemab) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja MAHB Sabah & Labuan (Kepmas) menyatakan sokongan terhadap pembangunan lima tahun LTSAAS secara strategik dan menyeluruh. 

 

Presiden Kesma, Hussain Shahar berkata, rancangan penjanaan semula LTSAAS adalah lebih baik berbanding cadangan WCT.

 

“LTSAAS merupakan satu aset dan khazanah negara yang berkembang maju di samping merupakan nadi dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

 

“Ia juga memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat. 

 

“Keselamatan negara (dikhuatiri) lebih terancam memandangkan anggota keselamatan yang akan menjaga LTSAAS ini adalah daripada pihak swasta,” katanya dalam sidang media seperti dilaporkan Bernama

 

Hari ini, MAHB mendedahkan bahawa kumpulan telah menyerahkan pelan strategik dan menyeluruh berjangka panjang bagi pembangunan semula LTSAAS kepada kerajaan.  

 

Baca : MAHB serah pelan pembangunan Lapangan Terbang Subang kepada kerajaan

 

Pelan itu memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. 

 

Isu pengambilalihan LTSAAS atau dikenali sebagai Skypark itu mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah, WCT menerusi anak syarikat milik penuhnya, Subang SkyPark Sdn. Bhd. (SSSB) dilaporkan mahu mengambil alih lapangan terbang itu. 

 

Bimbang sekiranya perkara itu berlaku, Hussain berkata bahawa kesatuan merancang untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menzahirkan bantahan rancangan pengambilalihan tersebut.

 

Beliau mendakwa tindakan pengambilalihan tersebut dijangka mendatangkan kerugian sehingga RM11 bilion yang turut melibatkan pendapatan pekerja, potensi kerugian pelaburan dan kerosakan yang mungkin ditanggung MAHB. - DagangNews.com