Buka sempadan segera untuk atasi kesan pandemik - penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

Buka sempadan segera untuk atasi kesan pandemik - penganalisis ekonomi

Jumlah kes akan menurun dengan pantas dalam jangka masa pendek dan ia akan berlaku tanpa perlunya penutupan dan penyekatan pergerakan. - Gambar Malaysia Airports
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 18 Feb – Malaysia sudah faham tentang corak jangkitan COVID-19 dan memasuki fasa varian terbaru Omicron, oleh itu jangan lengahkan lagi pembukaan semula sempadan negara bagi mengembalikan semula situasi normal pra-pandemik.

 

"Walaupun kes COVID-19 atau Omicron meningkat secara mendadak dan mencecah lebih 27,000 setiap hari, akan tetapi nombor ini turun dengan cepat.

 

''Oleh itu kita harus mengikut fakta dan bukti-bukti berasaskan sains dan tamatkan segera sekatan, buka sempadan negara serta pulihkan keadaan seperti biasa," Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams memberitahu DagangNews.

 

Beliau menekankan bahawa melihat dari sudut kesihatan awam, krisis pandemik COVID-19 telah tamat dan ia amat penting bagi semua pihak untuk menangani kemeruduman ekonomi dan sosial yang disebabkan oleh penutupan ekonomi dan sekatan pergerakan.

 

"Ia bukan lagi kes mengutamakan duit dan ekonomi berbanding nyawa kerana Omicron tidak dikaitkan dengan kadar penyakit dan kematian yang tinggi. Ia lebih menjurus kepada menyokong pemulihan ekonomi, membina semula pekerjaan dan membantu rakyat Malaysia untuk berdiri semula pasca-COVID-19," ujar beliau.

 

Williams turut menjelaskan bahawa sejumlah RM240 bilion kerugian ekonomi dianggarkan pada tahun 2020 hingga 2021 dan sejumlah RM800 bilion kerugian akan dicatatkan pada 2023.

 

"Melalui analisis kos-faedah juga kita tidak nampak faedah yang memihak kepada sekatan pergerakan selanjutnya, dan adalah penting bahawa sempadan dibuka dan sekatan berakhir.

 

''Satu-satunya rancangan yang perlu bagi Malaysia adalah perancangan yang membolehkan perkara ini (pembukaan sempadan) berlaku pada minggu hadapan atau minggu seterusnya, " tegas beliau.

 

 

Prof Geoffrey Williams
                            Profesor Geoffrey Williams

 

 

Ditanya mengenai model pemulihan ekonomi yang terbaik untuk negara, Williams berkata Malaysia seharusnya mengikut jejak langkah United Kingdom dan Denmark, di mana segala sekatan dihentikan serta merta.

 

"Realitinya, walau bagaimanapun, sekatan akan tamat, kita cuma melengah-lengahkan sahaja. Penambahan sekatan atau ujian berterusan mahupun pelaksanaan prosedur operasi standard tidak akan memberikan kesan yang sebenar dan kita juga sedar bahawa kadar pematuhan telah jatuh dan orang ramai hidup dengannya (COVID-19), sama ada terdapat sekatan atau tidak," kata beliau lagi.

 

Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.

 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

 

Walaubagaimanapun,Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata syor oleh MPN itu belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, selain ia perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Negara lain, seperti China dan New Zealand, telah mewujudkan lorong hijau dengan negara yang berkongsi kadar jangkitan yang sama untuk memudahkan perjalanan bagi kumpulan terpilih seperti ahli perniagaan, walau bagaimanapun, dalam semua kes, ujian dan kuarantin diperlukan serentak.

 

Manakala, sesetengah negara, seperti Jepun, Filipina dan Korea Selatan, telah melonggarkan sekatan domestik sambil mengekalkan sekatan antarabangsa.

 

"Tidak ada hujah atau justifikasi sama sekali berkenaan dengan penutupan atau sekatan selanjutnya. Bilangan kes yang tinggi adalah perkara biasa bagi varian Omicron dan selaras sepenuhnya dengan apa yang berlaku di negara lain.

 

Ia tidak dikaitkan dengan kemasukan ke hospital atau kematian yang tinggi malah lebih daripada 99.99 peratus kes adalah asimtomatik atau ringan," beliau berkata apabila diminta memberikan pandangan mengenai kenaikan kes COVID-19 yang mendadak dikaitkan dengan cuti Tahun Baru Cina.

 

Ditanya sama ada terdapat keperluan mengetatkan semula sekata pergerakan berikutan kes penyebaran COVID-19 yang tinggi, beliau sekali menekankan bahawa memperkenalkan semula sekatan pergerakan tidak akan menurunkan kes jangkitan mahupun kematian.

 

Dan mengambil contoh situasi negara lain, jumlah kes akan menurun dengan pantas dalam jangka masa pendek dan ia akan berlaku tanpa perlunya penutupan dan penyekatan pergerakan. – DagangNews.com