Buka Sempadan Sepenuhnya Secepat Mungkin, Penyelesaian Terbaik Pulih Ekonomi – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Buka Sempadan Sepenuhnya Secepat Mungkin, Penyelesaian Terbaik Pulih Ekonomi – Pakar Ekonomi

Perbelanjaan yang berkaitan pelancongan seperti penginapan, membeli belah serta perkhidmatan logistik sememangnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 18 Feb  - Membuka sempadan negara sepenuhnya dan secepat yang mungkin merupakan penyelesaian yang paling ideal dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara, demikian menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

Katanya, Ini adalah kerana sektor pelancongan yang menyumbang sekitar 12.5% daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019 merupakan industri yang penting kepada negara.

 

“Perbelanjaan yang berkaitan pelancongan seperti penginapan, membeli belah serta perkhidmatan logistik sememangnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

 

“Namun, langkah ini perlu dilaksanakan berhati-hati supaya ia tidak menyebabkan penyebaran wabak yg tidak terkawal terutama kesannya kepada kapasiti sektor kesihatan, katanya kepada kepada DagangNews.com  hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan pelbagai pihak termasuk industri berkaitan yang mahukan pintu sempadan dibuka.

 

Mohd Afzanizam berkata nasihat daripada pakar kesihatan perlu dititikberatkan supaya segala risiko berkaitan Covid-19 telah pun dikenalpasti berserta dengan langkah2 untuk menanganinya.


 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.

 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

 

Walaubagaimanapun,Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata syor oleh MPN itu belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, selain ia perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Sementara itu, mengulas lanjut tentang cadangan membuka sempadan negara, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata: “Kerajaan harus memikirkan pembukaan sempadan kerana Thailand / Vietnam bersedia untuk dibuka untuk pelancong asing.

 

 

Shan Saeed
                         Shan Saeed

 

 

Katanya, “Ini menandakan permulaan baharu pemulihan ekonomi yang akan membawa kepada momentum pertumbuhan dalam fasa pemulihan pasca pandemik.

 

“Dengan 98% populasi telah divaksin dan suntikan penggalak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan, Kerajaan harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk NRC untuk merangka tindakan seterusnya untuk ekonomi.

 

“Pada pendapat saya, masa adalah tepat untuk membuka sempadan dengan peraturan dan SOP yang ditetapkan,” tegas beliau. DagangNews.com