Burhanudin Noordin Ali dilantik sebagai Ketua Perwakilan Airbus Malaysia baharu | DagangNews Skip to main content

Burhanudin Noordin Ali dilantik sebagai Ketua Perwakilan Airbus Malaysia baharu

Burhanudin Noordin Ali
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Airbus melantik Burhanudin (Burhan) Noordin Ali sebagai Ketua Perwakilan Airbus di Malaysia, berkuat kuasa pada 1 Oktober 2023.

 

Beliau akan menggantikan Raymond Lim yang telah dinaikkan pangkat sebagai ketua khidmat pelanggan Asia Pasifik yang berpangkalan di Singapura.

 

Burhan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keseluruhan strategi Airbus, jejak industri, dan segala operasi di dalam negara serta memacu pencapaian polisi “One Roof” syarikat untuk menyepadukan dan menyokong perniagaannya di Malaysia.

 

Presiden Airbus Wilayah Asia Pasifik dan Ketua Jualan Pesawat Komersial, Anand Stanley berkata, Airbus dan Malaysia merupakan rakan kongsi strategik selama lebih 40 tahun. 

 

"Negara ini merupakan pangkalan utama pelanggan Airbus bagi keseluruhan rantau ini merangkumi perniagaan bagi pesawat komersil, pertahanan, ruang angkasa dan helikopter. 

 

"Kami juga merangka kerjasama industri yang kukuh dengan Malaysia, yang mana negara ini berfungsi sebagai pangkalan pembekal terbesar kami di rantau Asia Tenggara.

 

"Burhan akan mewakili kepentingan luas Airbus di Malaysia dan menyokong perancangan untuk memperkukuhkan kehadiran kami dalam pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pada masa sama, Burhan juga menyandang jawatan selaku Pengarah Urusan Sepang Aircraft Engineering (SAE), anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Airbus dan berpangkalan di Malaysia. 

 

SAE merupakan pembekal persendirian EASA yang diiktiraf bagi kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) dengan kepakaran dalam bidang pesawat komersial, enjin dan komponen berkaitan. 

 

Burhan memiliki lebih 24 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan aeroangkasa dan industri pertahanan di Malaysia setelah bekerja dengan pelbagai organisasi tempatan dan multinasional berkaitan. 

 

Beliau mempunyai ijazah sarjana muda dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Strathclyde, Glasgow. - DagangNews.com