Bursa Carbon Exchange lanjutkan lelongan sijil REC, tawar pilihan pelaburan kepada ahli korporat | DagangNews Skip to main content

Bursa Carbon Exchange lanjutkan lelongan sijil REC, tawar pilihan pelaburan kepada ahli korporat

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Bursa Carbon Exchange (BCX), anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia menawarkan perkhidmatan dagangan berterusan bagi sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) di platformnya.

 

Ini merupakan lanjutan keupayaan lelongan REC sebelum ini serta memudahkan transaksi luar pasaran.

 

Bursa Malaysia berkata, dengan menawarkan lebih banyak kelas aset, pilihan pelaburan dan alternatif perdagangan, ia mengukuhkan kedudukan BCX sebagai pertukaran produk sehenti yang mematuhi syariah dan menjana peluang pasaran baharu.

 

“Selain itu, tawaran BCX telah berkembang daripada hanya REC kuasa hidro sebelum ini dan kini merangkumi REC yang dijana daripada sumber fotovoltaik solar, biotenaga dan sumber kuasa hidro kecil. 

 

“Kepelbagaian dalam rangkaian produk REC itu akan membolehkan korporat tempatan memilih REC berdasarkan keperluan bagi mengurangkan pelepasan Skop 2 mereka, ” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

REC dikeluarkan di bawah piawaian I-REC, badan piawai yang diiktiraf di peringkat global dan mematuhi Piawaian Penjejakan Atribut Antarabangsa, yang diuruskan oleh Yayasan I-TRACK (dahulunya dikenali sebagai Piawaian I-REC).

 

Platform dagangan BCX diakreditasi oleh Yayasan I-TRACK, dengan BCX menjadi pengendali platform dagangan Malaysia pertama dan satu daripada hanya lapan di seluruh dunia yang menerima akreditasi ini.

 

Platform itu akan membolehkan peserta berdagang dengan kedua-dua kredit karbon dan REC mudah. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, platform BCX membolehkan perniagaan membeli aset alam sekitar seperti REC dan kredit karbon bagi menyokong komitmen mereka mengurangkan jejak karbon serta mempromosikan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan projek penyahkarbonan.

 

“Ketersediaan perdagangan berterusan REC akan memudahkan penggunaan RE yang meningkat di Malaysia, menyumbang ke arah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia.

 

"Ia juga akan menggalakkan perdagangan REC lebih banyak projek RE dengan menjadikannya lebih berdaya maju dari segi kewangan dan menarik pelabur menyokong serta mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon," jelasnya.

 

Selain itu, Bursa Malaysia menjelaskan, harga ditetapkan oleh sektor korporat domestik semasa lelongan sulung REC dan permulaan dagangan REC yang berterusan menunjukkan permintaan pasaran tempatan. 

 

Sementara itu, Bursa Malaysia menggesa ahli korporat untuk menggunakan paltform BCX sebagai persediaan dengan baik untuk rancangan pengurangan pelepasan dan pelaporan kemampanan akhir tahun mereka - DagangNews.com