Bursa Carbon Exchange, MPIA bekerjasama tingkatkan pasaran REC di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Bursa Carbon Exchange, MPIA bekerjasama tingkatkan pasaran REC di Malaysia

(Dari kiri) Presiden MPIA, Davis Chong dan Datuk Muhamad Umar Swift memeterai memorandum kerjasama di Jerayawara Solar MPIA 2024 pada 16 Januari 2024.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Bursa Carbon Exchange (BCX), anak syarikat milik penuh Bursa Malaysia, telah menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA) dalam usaha meningkatkan pasaran sijil tenaga boleh diperbaharui (REC) sukarela Malaysia.

 

Menurut Bursa Malaysia, kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada promosi bersama REC solar, membolehkan BCX menawarkan dagangan REC kepada ahli MPIA, entiti korporat dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

 

Selain itu, ia akan memajukan integriti pasaran dan kesedaran ekosistem REC, memberi tumpuan kepada penggunaan REC yang sesuai dan menangani kebimbangan berkaitan tuntutan berganda oleh korporat, termasuk pelaporan telus mengenai tuntutan tenaga solar.

 

Ia juga akan memberi tumpuan kepada potensi penerokaan bekalan REC solar daripada ahli MPIA untuk lelongan REC sulung, perdagangan berterusan dan urus niaga luar pasaran di BCX, serta sokongan untuk pembangunan prospektif rangka kerja REC sukarela ASEAN.

 

 

(Dari kiri) Presiden MPIA, Davis Chong dan Datuk Muhamad Umar Swift memeterai memorandum kerjasama di Jerayawara Solar MPIA 2024 pada 16 Januari 2024.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift mengulas bahawa memorandum kerjasama dengan MPIA menandakan sokongan bersama dalam pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan merupakan tindak balas langsung kepada permintaan korporat yang semakin meningkat di Malaysia untuk REC.

 

"Ini adalah langkah penting ke hadapan dalam memperkayakan tawaran bursa saham dengan REC solar, susulan kerjasama kami dengan Sarawak Energy Bhd baru-baru ini untuk memasukkan REC hidro mereka dalam rangkaian produk REC kami,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Muhammad Umar menekankan bahawa pihaknya komited untuk mewujudkan BCX sebagai bursa saham alam sekitar patuh Syariah sehenti dengan rangkaian tawaran, sejajar dengan visi Bursa Malaysia sebagai bursa saham berbilang aset.  - DagangNews.com