Bursa dijangka teruskan prestasi kewangan kukuh - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bursa dijangka teruskan prestasi kewangan kukuh - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April - Perolehan yang memberangsangkan dicatatkan oleh Bursa Malaysia Berhad bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21) dijangka berterusan hingga memasuki suku tahun seterusnya. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng membuat ramalan itu selepas mengambil kira kedua-dua faktor yang memacu pertumbuhan keuntungan bersih Bursa Malaysia akan terus mengukuh memasuki 2Q21. 

 

Untuk rekod, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih mencanak naik 87.5% tahun ke tahun (y-o-y) bagi suku tahun tersebut, dipacu oleh purata nilai dagangan harian (ADTV) yang melonjak 100.8% bagi tempoh sama. 

 

“Dalam pandangan kami, pemacu utama bagi ADTV ekuiti yang kukuh sejak 2Q20 adalah rejim kadar faedah yang rendah dan perintah kawalan pergerakan (PKP), di mana mendorong kepada kemasukan kecairan runcit ke pasaran ekuiti.

 

“Kami berpendapat kedua-dua faktor ini akan berterusan memasuki 2Q21 dan seterusnya, menjangkakan keuntungan bersih 2Q21 akan berada pada tahap hampir sama atau rendah sedikit berbanding 1Q21.

 

“Berdasarkan ramalan ini, pertumbuhan keuntungan bersih Bursa Malaysia mungkin melonjak antara 30% hingga 40% y-o-y pada 2Q21,” jelas Ng dalam nota kajiannya hari ini.

 

Semalam, Bursa Malaysia mencatatkan RM121.4 juta bagi keuntungan selepas cukai (PAT) untuk suku tahun berkenaan, meningkat daripada RM64.7 juta yang direkodkan pada 1Q20.

 

Baca : Keuntungan Q1 Bursa ‘melompat’ 87.5% kepada RM121.4 juta 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham Bursa Malaysia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM9.18. 

 

MIDF Research sebaliknya membuat saranan untuk ‘beli’ saham Bursa Malaysia, namun TP tidak berubah pada kadar RM8.90. 

 

Ketua MIDF, Imran Yassin Md Yusof menjangkakan minat pelaburan yang tinggi di Bursa Malaysia akan berterusan.

 

“Kami pada awalnya berpendapat peningkatan dalam minat dagangan bagi tahun lalu sesuatu yang luar biasa berbanding kebiasaan baharu dan akan kembali normal bagi tahun kewangan 2021 (FY21). 

 

“Namun, minat dagangan terus mengukuh dalam kalangan pelabur runcit. Berdasarkan ramalan kami terhadap ketidaktentuan yang akan meningkat ekoran episod reaksi panik terhadap pasaran, minat tersebut akan berterusan pada tahun ini,” katanya.

 

Setakat 10.50 pagi, nilai saham Bursa Malaysia menokok 9 sen kepada RM8.58. - DagangNews.com