Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Bursa Malaysia menyaksikan penurunan pada sesi dagangan awal pagi hari ini sekaligus gagal mengekalkan kenaikan yang dicatatkan dalam lima sesi terakhir berikutan aktiviti pengambilan untung.
Pada 9.05 pagi, FBM KLCI turun 4.94 mata kepada 1,565.88, berbanding 1,570.82 pada penutupan Isnin.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung dan rugi masing-masing berada sebanyak 204, sementara 332 kaunter tidak berubah, 1,531 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 254.89 juta unit bernilai RM137.65 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota kajiannya hari ini berkata, pasaran saham Amerika Syarikat terus merekodkan kerugian dengan Indeks Dow Jones turun 0.7% selepas kenaikan harga minyak mentah ketika ini mencetuskan kebimbangan.
Harga minyak mentah diniagakan melebihi AS$ 83 setong, sementara harga minyak sawit mentah (MSM) mengukuh di sekitar rantau ini.
"Walaupun tekanan penjualan di Wall Street, kami mengharapkan dana asing yang terus menerus melakukan pembelian ke dalam ekuiti tempatan, ditambah dengan harga komoditi minyak mentah dan MSM yakan memberikan sentimen yang sihat kepada pertukaran tempatan dalam jangka pendek.
"Oleh kerana Malaysia sudah bersedia memasuki fasa endemik, prospek pemulihan ekonomi harus bertahan dan momentum positif dapat terus berlanjutan sekurang-kurangnya untuk jangka waktu dekat," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Katanya, saham-saham dengan tema pemulihan masih menjadi perhatian selepas pengumuman pembukaan semula sempadan negeri, dengan kaunter tenaga boleh diperbaharui mungkin akan didagangkan lebih tinggi menjelang Belanjawan 2022.
Antara saham berwajaran tinggi, Nestlé (Malaysia) Bhd turun RM2 kepada RM132.50, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) turun 36 sen pada RM22.34, Public Bank Bhd turun dua sen kepada RM4.09 dan Sime Darby Plantation Bhd turun empat sen hingga RM4.23. -DagangNews.com