KUALA LUMPUR 7 Mac - Aliran masuk asing dalam bursa tempatan bagi minggu berakhir 4 Mac lalu mencecah RM1.08 bilion dan merupakan tertinggi setakat tahun ini.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati dana antarabangsa merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut dan minggu ketujuh daripada 9 minggu pada 2022.
"Kami dapati pada minggu lalu, pelabur asing membeli ekuiti paling banyak, melepasi paras sebelum itu pada RM955.9 juta yang direkodkan bagi minggu berakhir 18 Februari," katanya dalam laporan itu hari ini.
Menurut firma itu, apabila pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing dan runcit masing-masing membeli ekuiti sebanyak RM490.9 juta dan RM35 juta, sebaliknya pelabur institusi tempatan menjual bersih sebanyak RM525.9 juta.
Katanya, pelabur asing terus menjadi pembeli bersih setiap hari sebelum sebulan lalu mulai 7 Februari, selama 20 hari berturut-turut tanpa gangguan.
"Aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Isnin sebanyak RM490.9 juta manakala terendah pada Rabu, hanya RM79.85 juta.
"Kadar aliran masuk pelabur asing juga kekal kukuh pada Selasa, Khamis dan Jumaat dengan masing-masing sebanyak RM230.6 juta, RM136.5 juta dan RM143.6 juta," jelasnya.
MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan pula menjadi penjual bersih ekuiti sejak 4 Februari lalu.
Pada minggu lalu, aliran keluar terbesar direkodkan pada Isnin sebanyak RM525.9 juta manakala paling rendah pada Rabu, RM154 juta.
"Bagi pelabur runcit pula, mereka menjadi pembeli bersih ekuiti setiap hari, dengan pembelian terbesar direkodkan pada Rabu berjumlah RM74.19 juta manakala paling rendah pada Isnin, RM35 juta," katanya.
Secara keseluruhan, bagi minggu kesembilan ini, pelabur asing membeli bersih RM1.08 bilion ekuiti diikuti pelabur runcit, RM230.4 juta. Pelabur institusi tempatan pula menjual RM1.31 bilion ekuiti.
Menurut firma itu, 3 sektor yang menyaksikan aliran masuk paling tinggi daripada pelabur asing adalah perkhidmatan dan produk perindustrian berjumlah RM518.6 juta diikuti perkhidmatan kewangan (RM289.7 juta) dan perladangan (RM229.8 juta). - DagangNews.com