Bursa Malaysia catat aliran masuk bersih RM565.6 juta daripada pelabur asing, peruncit tempatan minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia catat aliran masuk bersih RM565.6 juta daripada pelabur asing, peruncit tempatan minggu lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Pelabur asing dan peruncit tempatan merupakan pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu yang berakhir 25 Mac dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM565.6 juta.

 

MIDF Research dalam laporan strategi ekuitinya berkata, dana antarabangsa menjadi tumpuan untama di bursa untuk tempoh 10 minggu daripada 12 minggu pertama pada 2022 dengan aliran tunai sebanyak RM6.12 bilion setakat tahun ini.

 

Pelabur asing menjadikan penjual bersih dengan rekod aliran keluar sebanyak RM8.6 juta pada Isnin ketika pasaran dibuka semula minggu lalu, sekali gus mengakhiri pembelian selama 30 hari berturut-turut dan kemudian bertukar menjadi pembeli bersih semula pada minggu itu.

 

"Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Khamis sebanyak RM176.5 juta, Selasa sebanyak RM134.3 juta dan Jumaat RM114.5 juta," katanya.

 

Untuk minggu lepas, institusi tempatan mengakhiri aktiviti jualan bersih selama 31 hari pada Isnin dengan belian bersih berjumlah RM58.3 juta sebelum bertukar semula menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Jumaat.

 

Aliran keluar bersih terbesar dicatatkan pada hari Selasa sebanyak RM225.2 juta, Khamis merekodkan RM191.7 juta dan diikuti Rabu sebanyak RM105 juta.

 

"Secara keseluruhan, institusi tempatan adalah penjual bersih dengan mencatatkan sejumlah AS$565.5 juta (RM2.3 bilion)," katanya.

 

Minggu lepas, Press Metal Aluminium Holdings Berhad mencatatkan aliran masuk wang bersih tertinggi sebanyak RM2.4 juta namun harga sahamnya adalah 1.57% lebih rendah untuk minggu berkenaan berbanding pasaran tempatan yang mencatatkan peningkatan mingguan 0.76%.

 

Sementara itu,  Petronas Chemicals Group Berhad menyaksikan aliran keluar wang bersih terbesar sebanyak RM6.24 juta minggu lepas dengan harga sahamnya 2.13% lebih tinggi, mengatasi prestasi FBM KLCI yang mengukuh 0.76% pada minggu kajian.

 

Sementara itu, pergerakan peruncit diliat bercampur minggu lalu dengan tiga hari jualan dan dua hari pembelian yang menyaksikan kedudukan belian bersih untuk minggu itu pada RM39.9 juta.

 

Mereka adalah penjual bersih pada hari Isnin merekodkan sebanyak RM49.8 juta, Rabu (RM4 juta) dan Jumaat (RM12.4 juta), manakala bertukar menjadi pembeli bersih pada hari Selasa dengan RM90.94 juta dan Khamis RM15.21 juta.

 

Dari segi penyertaan, hanya institusi tempatan yang menyaksikan peningkatannilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 5.74% manakala pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan penurunan sebanyak 61.77% dan 8.87%.

 

"Pada asas tahun setakat ini, institusi tempatan adalah penjual bersih dengan merekodkan sejumlah RM6.61 bilion manakala peruncit tempatan bertindak sebagai pembeli bersih pada RM492.8 juta," katanya. - DagangNews.com