KUALA LUMPUR 31 Julai - Bursa Malaysia Bhd dijangka menaikkan sasaran keuntungan antara RM361 juta hingga RM379 juta bagi FY24 berbanding antara RM273 juta hingga RM323 juta selepas merekodkan untung bersih RM155.5 juta pada 1HFY24.
RHB Investment berkata, bagi tempoh enam bulan, prestasi kewangan telah melepasi sasaran awal keuntungan dan ia dipercayai disumbangkan prestasi pasaran yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Katanya, sasaran itu adalah adil memandangkan reaksi pasaran yang tidak menentu didorong konflik geopolitik berterusan seperti konflik di Asia Barat dan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang akan datang.
"Bagaimanapun, kumpulan itu melihat potensi peningkatan datang daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang kukuh serta kekuatan pasaran sekuriti yang berterusan.
"Pengurusan menjangkakan nilai transaksi harian purata (SADV) akan terus berlegar di atas RM3 bilion dan purata kontrak harian (DADC) pada separuh kedua tahun ini kekal mendatar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Bursa Malaysia pada 1HFY24 meningkat 17.4% kepada RM155.5 juta dipacu hasil dagangan lebih tinggi
Terdahulu, peningkatan untung bersi Bursa Malaysia adalah disebabkan oleh peningkatan 29.3% dalam hasil operasi kepada RM374.5 juta pada 1HFY24 berbanding RM289.6 juta pada 1HFY23.
Bagi 1HFY24 dalam tinjauan, pasaran sekuriti mencapai hasil dagangan yang kukuh sebanyak RM192.2 juta, menandakan peningkatan 52.6% daripada RM126 juta pada tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga memiliki tunai sebanyak RM490 juta, jumlah tertinggi sejak berakhirnya pandemik COVID-19.
Katanya, pengurusan menunjukkan bahawa mereka berhasrat untuk mengekalkan sedikit tunai untuk pemerolehan bagi melengkapkan perniagaan data pasarannya yang sedia ada dan ia menganggap RM350 juta sebagai tahap tunai yang optimum.
Dengan mengandaikan tiada pengambilalihan dibuat tahun ini, tahap tunai optimum membolehkan Bursa Malaysia membayar RM70 juta dalam bentuk dividen khas, atau 9 sen sesaham.
"Kami menyukai Bursa Malaysia sebagai proksi kepada pasaran sekuriti yang kukuh, dan positif terhadap usaha kumpulan ke arah mempelbagaikan penawarannya mengatasi produk dagangan tradisional," katanya.
RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM11.25 sesaham.- DagangNews.com