Bursa Malaysia kembali catat aliran masuk asing sebanyak RM425.62 juta minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia kembali catat aliran masuk asing sebanyak RM425.62 juta minggu lalu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Nov - Pelabur asing kembali membeli ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM425.62 juta yang menyaksikan tiga sektor mencatat aliran masuk bersih paling tinggi. 

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research mendapati sektor perkhidmatan kewangan mencatat aliran masuk asing sebanyak RM137.6 juta diikuti perkhidmatan dan produk pengguna (RM133 juta) dan penjagaan kesihatan (RM70.4 juta). 

 

Setelah muncul sebagai penjual bersih ekuiti tempatan pada minggu sebelumnya, pelabur asing membeli ekuiti setiap hari minggu lalu dengan aliran paling tinggi direkodkan pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM97.42 juta dan RM105.96 juta.

 

"Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar asing paling tinggi ialah pembinaan sebanyak RM10.2 juta diikuti pengangkutan dan logistik (RM4 juta) dan REIT (RM1.4 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti tempatan sebanyak RM252.04 juta selepas membeli ekuiti pada minggu sebelumnya.

 

Aliran keluar itu dicatatkan pada Isnin hingga Khamis dengan masing-masing sebanyak RM82.67 juta, Selasa (RM36.93 juta), Rabu (RM63.7 juta) dan Khamis (RM78.75 juta). Pada Jumaat, mereka membeli ekuiti berjumlah RM10.01 juta.

 

Sementara itu, pelabur runcit turut menjual ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM173.57 juta. Ia merekodkan aliran keluar paling tinggi pada Jumaat berjumlah RM115.97 juta.

 

MIDF Research berkata, dana antarabangsa merekodkan aliran masuk ekuiti sebanyak RM6.18 bilion dalam tempoh 26 minggu daripada 45 minggu setakat tahun ini.

 

Ini diikuti dengan pelabur institusi tempatan yang menjual ekuiti sebanyak RM8.14 bilion dalam tempoh 31 minggu manakala pelabur runcit pula membeli RM1.96 bilion ekuiti dalam tempoh 26 minggu setakat tahun ini.

 

"Dari segi pergerakan pelabur, pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan 3.15% dan 1.4%. Dagangan pelabur asing pula susut 7.21% pada minggu lalu," katanya.

 

Firma itu menjangkakan penyertaan pasaran yang lebih kukuh minggu ini kerana pelabur dijangka mengambil kedudukan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini dan semakan semula setengah tahun FBM KLCI.

 

Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI menokok 2.08% atau 29.93% untuk berakhir pada 1,468.21 mata manakala ringgit menambah nilai kira-kira 2.64% berbanding dolar AS bagi mengakhiri dagangan Jumaat pada RM4.6225.

 

Pasaran tempatan bagi minggu berakhir 11 November itu didorong data ekonomi yang lebih baik terutama apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 14.2% melepasi unjuran pasaran pada 12.5% manakala kadar pengangguran pada September juga susut kepada 3.6%. - DagangNews.com