Bursa Malaysia lancar Bursa RISE untuk tambah baik hala tuju dagangan dan profil korporat PLC | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia lancar Bursa RISE untuk tambah baik hala tuju dagangan dan profil korporat PLC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Bursa Malaysia Berhad hari ini melancarkan Skim Insentif Penyelidikan Bursa (Bursa RISE) yang menyasarkan untuk menambahbaik hala tuju dagangan dan profil korporat penyertaan syarikat senaraian awam (PLC) melalui liputan penyelidikan dan aktiviti pemasaran.

 

Skim yang dilaksanakan itu adalah bermatlamat mencipta penghargaan terhadap asas kepada PLC yang membawa kepada kepada pengiktirafan nilai yang lebih baik untuk syarikat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Bursa RISE adalah inisiatif yang diwujudkan selaras dengan landskap pasaran modal yang semakin berkembang dengan pelabur mencari penglibatan pihak berkepentingan yang lebih besar dan lebih telus dalam berkomunikasi.

 

"Saya percaya Bursa RISE akan membantu PLC yang mengambil bahagian dalam meningkatkan tahap tadbir urus korporat, ketelusan dan pendedahan melalui penglibatan pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Program itu juga melibatkan Perhubungan Pelabur (IR) dan Perhubungan Awam (PR) yang menyediakan sokongan kepada PLC yang mengambil bahagian untuk membolehkan penglibatan yang lebih baik dengan pihak berkepentingan, pemegang saham, pelaburan, masyarakat, media dan orang ramai.

 

Bursa RISE melengkapi program Transformasi PLC yang bermatlamat menggalakkan mereka untuk lebih telus dalam mempamerkan prestasi selain membolehkan pelabur meraih maklumat tamahan untuk membantu mereka membuat keputusan sebelum melabur.

 

Muhammad Umar berkata, dengan usaha dan penglibatan pemasaran yang lebih besar, pihaknya berharap pelabur memberikan lebih perhatian kepada PLC yang telibat dengan program itu.

 

"Kesemua program itu diharapkan dapat meningkatkan penglibatan korporat untuk PLC yang mengambil bahagian sambil menjana hasil positif kepada PLC dan peluang lebih besar kepada pelabur dan pihak berkepentingan," katanya. - DagangNews.com