Bursa Malaysia sedikit lega, sentimen politik masih pengaruhi pasaran | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia sedikit lega, sentimen politik masih pengaruhi pasaran

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pasaran saham Malaysia kembali merosot hari ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 November di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain didorong kerugian semalaman di Wall Street.

Setakat 9.03 pagi, KLCI merosot 4.58 mata atau 0.31% mencecah paras 1490.03.

Indeks FBM KLCI itu juga dilihat kembali reda walaupun ketidaktentuan politik masih lagi membelenggu keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan. 

Semalam, mesyuarat UMNO memutuskan untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain menggesa penambahbaikan kerjasama terutama dalam usaha menangani wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Ini susulan desakan pelbagai pihak yang mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas gagal memperoleh pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Rakuten Trade Research berkata, para pelabur bakal memburu saham murah sekali gus menarik KLCI mencecah paras 1,500 semula selepas gambaran kestabilan kerjasama politik dalam kepimpinan kerajaan.

“Oleh itu, pelabur perlu mengambil peluang ini untuk mencari peluang dagangan saham murah dan tumpuan masih tinggi terhadap saham berkaitan penjagaan kesihatan memandangkan PKPB dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 9 November. 

“Sehubungan itu, saham berkaitan sarung tangan dan pelitup muka serta teknologi dan modal sederhana kecil akan menjadi pusat tumpuan,” kata Rakuten Trade. 

Dalam pada itu, pasaran serantau dijangka menyaksikan sentimen yang lebih lemah didorong prestasi dagangan saham di Amerika Syarikat (AS) semalam. 

“Pasaran AS jatuh mendadak sebelum melonjak semula ke paras rendah ketika kes COVID-19 di seluruh dunia kian meningkat dengan rundingan rancangan rangsangan yang masih berjalan terus menjejas sentimen,” tambah Rakuten Trade. 

Menurut Reuters, saham Australia merosot kira-kira 0.6%, manakala niaga hadapan Jepun meningkat 0.04%.

Semalam, saham Jepun ditutup rendah, merosot 0.09% dengan kontrak niaga hadapan merudum 0.25%. 

Niaga hadapan Hong Kong melonjak 0.1% dengan MSCI merudum 1.52%. - DagangNews.com