Bursa Malaysia tawar majlis penyenaraian ACE Market secara maya | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia tawar majlis penyenaraian ACE Market secara maya


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Buat julung kalinya syarikat pasaran saham di negara, Bursa Malaysia menawarkan majlis penyenaraian ACE Market secara maya.

Langkah itu diwujudkan seiring pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sekaligus menawarkan kelonggaran kepada para penerbit saham. 

Samaiden Group Berhad, salah satu perunding perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar Malaysia, menjadi syarikat pertama yang menggunakan perkhidmatan penyenaraian secara maya tersebut.

Mengulas mengenai majlis penyenaraian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berhasrat untuk terus memanfaatkan penggunaan teknologi bagi membawa peralihan persekitaran perkhidmatan syarikat selain mengutamakan kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan. 

 

Datuk Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

“Secara sejarahnya, majlis penyenaraian Bursa Malaysia menandakan tonggak penting dalam kitaran sesebuah syarikat. Majlis itu selalunya menarik pelbagai tetamu yang bersama-sama meraikannya dengan pemilik syarikat. 

“Walaupun ketika PKPB, kami gembira dalam mengekalkan tradisi lama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain Samaiden Group, Bursa Malaysia menjangkakan empat lagi penyenaraian syarikat pada bulan ini. 

Syarikat-syarikat itu adalah Southern Cable Group Berhad (16 Oktober), Aneka Jaringan Holdings Berhad (20 Oktober), Mr DIY Group (M) Berhad (26 Oktober) dan Econframe Berhad (27 Oktober).

Majlis penyenaraian itu dijalankan secara langsung menerusi laman Facebook Page Bursa Marketplace. - DagangNews.com