Bursa menongkah arus, ringgit terus merosot | DagangNews Skip to main content

Bursa menongkah arus, ringgit terus merosot

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Bursa tempatan menyaksikan aliran penurunan berbanding rakan serantau lain seperti Filipina dan Thailand yang merekodkan kenaikan ketika mengakhiri dagangan hari ini. 

 

Ini memandangkan pasaran meraih peningkatan berikutan perkembangan dalam agihan vaksin COVID-19 merangsang jangkaan terhadap normalisasi pemulihan ekonomi global dan hasil korporat. 

 

Indeks utama FBM KLCI susut 6.27 mata atau 0.4% untuk ditutup kepada 1,578.63 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,574.69 hingga 1,590.47 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 6.09 bilion bernilai RM4.16 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga hampir seimbang apabila kaunter untung mengatasi rugi pada 549 berbanding 532 manakala 504 kaunter tidak berubah.  

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pada asas mingguan, FBM KLCI mengalami kerugian mingguan 0.1% diheret turun kaunter sarung tangan getah. 

 

"Kesemua kaunter sarung tangan getah dalam indeks utama ini mencatat kerugian pada Jumaat. 

 

"Keadaan ini disebabkan kegilaan pelabur runcit yang terpengaruh dengan media sosial sebelum ini semakin perlahan apabila mereka tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menyokong aktiviti pembelian bagi kaunter sarung tangan getah," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Oleh itu, katanya, indeks penjagaan kesihatan menyusut 0.9% dalam dagangan hari ini, menjadikannya indeks sektor yang mencatat paling banyak kerugian. 

 

Pada minggu hadapan, beliau berkata, pasaran akan tertumpu kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akan dikeluarkan pada 11 Februari. 

 

Setakat ini, jelasnya, pertumbuhan KDNK di negara serantau seperti Indonesia menyaksikan ekonominya susut lebih tinggi berbanding jangkaan sebelum ini pada suku keempat, penguncupan buat kali pertama dalam tempoh 2 dekad ekoran pandemik COVID-19.

 

"Mungkin ekonomi Indonesia boleh memberi sedikit gambaran mengenai KDNK Malaysia bagi suku keempat 2020," katanya. 

 

Untuk itu, pelabur dijangka terus berada di hadapan menjelang pengumuman KDNK minggu hadapan dan FBM KLCI diunjur berlegar antara 1,575 dan 1,590 mata. 

 

"Sekiranya data lebih baik daripada jangkaan, pastinya akan melonjakkan indeks utama melepasi 1,600 mata," tambah beliau. 

 

Bagi pasaran kewangan, menurutnya, ringgit susut 0.3% berbanding dolar AS pada Jumaat selepas ditutup pada RM4.0675. 

 

Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0570/0600 berbanding dolar AS daripada RM4.0490/0530 semasa ditutup pada Rabu.

 

"Memandangkan, data KDNK akan dikeluarkan Khamis depan, ringgit sepatutnya diniagakan sebaliknya dalam julat antara RM4.05 hingga RM4.06 menjelang pengumuman oleh Bank Negara Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com