Bursa, ringgit ditutup rendah petang ini | DagangNews Skip to main content

Bursa, ringgit ditutup rendah petang ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pasaran tempatan petang ini ditutup rendah selepas susut 4.6 mata kepada 1,647.89 mata susulan meningkatnya aktiviti pengambilan untung terutama menjelang cuti panjang hujung tahun. 

 

Dalam masa sama, pasaran juga dalam keadaan tidak menentu ekoran kebimbangan wujudnya mutasi baharu COVID-19 di United Kingdom yang kemungkinan mendorong perintah berkurung dilaksanakan lebih ketat. 

 

Mengakhiri dagangan hari ini dengan susut 0.28%, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebelum itu bergerak dalam jajaran antara 1,641.92 hingga 1657.82 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 8.09 bilion bernilai RM3.67 bilion, lebih rendah daripada Jumaat lalu, sebanyak 8.02 bilion dagangan bernilai RM4.37 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 848 berbanding 394 manakala 435 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0490/0530 berbanding dolar AS, daripada penutupan Jumaat pada RM4.0375/0415.

 

Menurut Reuters, dolar AS mengukuh berbanding mata wang utama yang lain apabila lebih banyak negara mula mengetatkan langkah sekatan bagi mengekang pandemik COVID-19. 

 

Dalam masa sama, sentimen negatif juga membayangi rundingan dalam pakej rangsangan fiskal bagi menangani wabak itu berjumlah AS$900 bilion. 

 

Keadaan ini juga menyaksikan pasaran saham Asia diniagakan mendatar yang turut dipengaruhi kebimbangan mutasi baharu COVID-19 yang semakin merebak di Eropah. 

 

Pakar Kanan Strategi Kewangan National Australia Bank, Rodrigo Catril berkata, laporan mengenai perintah berkurung dan kebuntuan dalam Brexit menyebabkan kebimbangan dalam pasaran yang menyaksikan dolar AS lebih mengukuh didorong kelemahan pound. 

 

Dolar AS kembali mengukuh selepas merosot ke paras 2 tahun setengah terendah berbanding mata wang utama pada minggu lalu apabila meningkatnya keyakinan terhadap pelancaran vaksin yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi global. 

 

Indeks dolar naik 0.2% kepada 90.461 selepas jatuh kepada paras 89.723 pada Khamis, kali pertama sejak April 2018. 

 

Menurut MIDF Research, prestasi ringgit pada minggu lalu adalah lebih baik dengan mengukuh kepada RM4.040 berbanding dolar AS, 2% lebih tinggi daripada RM4.050 pada minggu sebelumnya.  

 

Katanya, selain didorong kelemahan dolar AS, ringgit mendapat manfaat daripada kenaikan berterusan harga minyak global.

 

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim pada Jumaat lalu berkata, aktiviti dagangan pada minggu ini mungkin menarik nafas seketika terutama sebelum cuti umum Krismas pada Jumaat. 

 

Pada masa sama, data inflasi Malaysia bagi November akan dikeluarkan pada Rabu. 

 

"Dengan dagangan dijangka suram minggu hadapan, bursa tempatan kemungkinan akan berlegar sekitar 1,640 hingga 1,660 mata," katanya. - DagangNews.com