Bursa tempatan, ringgit hilang momentum | DagangNews Skip to main content

Bursa tempatan, ringgit hilang momentum

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pasaran tempatan gagal mengekalkan momentum pada paras 1,600 mata ketika mengakhiri dagangan petang ini. 

 

Indeks utama FBM KLCi ditutup rendah 10.85 mata kepada 1,595.29 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,593.8 hingga 1609.51 mata. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 622 berbanding 548 manakala 446 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 10.14 bilion bernilai RM5.23 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 12.6 bilion diniagakan bernilai RM5.79 bilion.

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit ditutup pada RM4.0370/0420 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam, pada RM4.0280/0320.

 

Selepas mencatatkan kenaikan selama 6 hari berturut-turut, pergerakan ringgit bertukar menjadi lemah berbanding dolar AS berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung serta kemerosotan dalam harga minyak mentah.

 

Pada Selasa, minyak mentah mencapai paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan melepasi AS$63 setong.

 

Menurut Reuters, pasaran saham tempatan tergelincir dalam dagangan hari ini susulan keputusan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di 4 negeri sehingga 4 Mac di sebalik pengumuman kerajaan mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam. 

 

Kebanyakan pasaran saham Asia pula dipengaruhi dolar AS yang melambung tinggi setelah meraih manfaat daripada hasil perbendaharaan AS 10 tahun kepada paras tertinggi setahun disokong jangkaan pemulihan ekonomi bertambah baik dengan pakej rangsangan ekonomi dan peningkatan inflasi.

 

Malaysia akan memulakan program vaksinasi ini mulai 26 Februari apabila penerimaan pertama vaksin Pfizer-Biotech sampai ke Malaysia, Ahad ini. 

 

CGS-CIMB dalam nota kajian berkata, masih terdapat gangguan yang akan menjejaskan perancangan vaksinasi kerajaan, terutama kebimbangan terhadap jumlah dos vaksin mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi tempoh masa yang singkat.

 

"Ini kerana, kerajaan setakat ini hanya menyediakan garis masa yang terperinci bagi penghantaran vaksin Pfizer-Biotech tetapi tidak melibatkan 4 lagi jenis vaksin," katanya. 

 

Pesanan pertama bagi sejuta dos vaksin Pfizer akan tiba di Malaysia pada akhir Februari ini melibatkan 500,000 penerima (2 dos bagi setiap orang). 

 

Kemudiannya diikuti 1.7 juta dos lagi pada suku kedua 2021, 5.8 juta dos pada suku ketiga dan 4.3 juta dos suku berikutnya. 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, KLCI masih tidak mampu melepasi paras rintangan 1,618 mata di sebalik keyakinan terhadap prospek teguh Rizab Persekutuan AS, jangkitan COVID-19 yang semakin menurun dan pengumuman program imunisasi. 

 

"Pasaran dilihat masih lagi 'tarik tali' dalam tempoh terdekat ini terutama menjelangnya musim laporan kewangan suku keempat," katanya. - DagangNews.com