ByteDance kekal pemegang saham terbesar TikTok? | DagangNews Skip to main content

ByteDance kekal pemegang saham terbesar TikTok?

ByteDance

NEW YORK 18 Sept. - Syarikat induk TikTok, ByteDance akan terus menjadi pemegang saham terbesar dalam aplikasi video pendek berkenaan susulan perjanjian baharunya dengan syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat (AS), Oracle Corporation.

Susulan perjanjian baharu itu, TikTok akan menjadi syarikat global yang memiliki ibu pejabat di AS sekiranya dipersetujui oleh kerajaan negara berkenaan.

Menurut sumber, sekiranya perkara tersebut terjadi, Oracle akan berfungsi sebagai pengendali kepada data pengguna TikTok dan mengkaji semula kod aplikasi berkenaan bagi tujuan keselamatan.

Syarikat pasaran runcit multinasional AS, Walmart pula berkemungkinan akan mengekalkan peranannya dalam perjanjian baharu itu.

Jelas sumber sama seperti dipetik CNN, Walmart berkemungkinan akan berfungsi sebagai pelabur minoriti dan rakan e-dagang, bagaimanapun perkara tersebut masih belum diputuskan.

Dalam perjanjian baharu itu juga, kerajaan AS akan meluluskan beberapa ahli lembaga pengarah dalam TikTok.

Seorang daripada mereka adalah pakar dalam aspek keselamatan data dan kerahsiaan maklumat.

Mereka yang dilantik akan bertanggungjawab mempengerusikan sebuah jawatankuasa keselamatan yang dianggotai oleh warganegara AS.

Tambahnya, kesemua anggota tersebut adalah melalui kelulusaan pihak kerajaan AS. 

Syarikat global tersebut juga dijangka akan membuat penawaran awam (IPO) dalam masa 12 bulan untuk disenaraikan dalam bursa saham AS. - DagangNews.com