ByteDance mahu TikTok jadi anak syarikat | DagangNews Skip to main content

ByteDance mahu TikTok jadi anak syarikat

TikTok

NEW YORK 21 Sept. - Syarikat ByteDance China ingin menjadikan TikTok sebagai anak syarikatnya dalam perjanjian bersama syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat (AS), Oracle Corporation.

Keinginan tersebut dibuat meskipun Oracle Corporation dan syarikat pasaran runcit multinasional AS iaitu Walmart Inc mengatakan bahawa mereka dan pelabur AS akan memiliki sebahagian besar aplikasi TikTok susulan perjanjian dengan Pentadbiran Presiden AS Donald Trump.

Memetik laporan Reuters, ByteDance membuat pengakuan akan memiliki 80% pemegangan dalam TikTok Global iaitu sebuah syarikat operasi baharu TikTok di AS. 

Oracle dan Walmart pula bersepakat untuk mengambil pemegangan dalam TikTok Global dengan masing-masing sebanyak 12.5% dan 7.5%.

ByteDance turut membuat kenyataan berhubung khabar angin yang mendakwa pelabur AS akan menjadi pemilik majoriti dalam TikTok Global.

Dakwaan itu sekali gus menunjukkan ByteDance akan kehilangan kuasa dan pengaruh terhadap TikTok.

Bagaimanapun, isu tersebut enggan diulas oleh Oracle dan Walmart.

Baca: ByteDance kekal pemegang saham terbesar TikTok?

Pada 14 Ogos lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif dengan memberi tempoh selama 90 hari kepada ByteDance untuk menjual aplikasi TikTok.

Perintah tersebut dikeluarkan susulan kebimbangannya terhadap data peribadi 100 juta orang penduduk AS yang menggunakan aplikasi tersebut dapat ditembusi oleh pemerintah Parti Komunis China.

Trump menyokong satu perjanjian yang akan membolehkan TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat.

Menurut sumber, sekiranya perkara tersebut terjadi, Oracle akan berfungsi sebagai pengendali kepada data pengguna TikTok dan mengkaji semula kod aplikasi berkenaan bagi tujuan keselamatan.

Dalam laporan CNN hari ini, Trump pada Sabtu telah meluluskan perjanjian tersebut. - DagangNews.com